Gambar Hiasan
JOHOR BAHRU – Cubaan sepasang suami isteri membawa wang tunai hampir RM3 juta ke Singapura tanpa diisytiharkan terbongkar selepas ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar, di sini, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pasangan ahli perniagaan berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan pada jam 11.40 pagi ketika melalui zon pemeriksaan kenderaan menghala ke Woodlands.
Menurutnya, pasangan itu menaiki Toyota Alphard putih dengan nombor pendaftaran tempatan sebelum diperiksa tiga pegawai AKPS selepas menunjukkan ‘gelagat mencurigakan’ ketika disoal.
“Pemeriksaan lanjut dijalankan di ruang simpanan barang dan tempat duduk penumpang sebelum menemui wang tunai RM1,971,697 dan AS$300,000 yang disimpan dalam tiga kotak, sebuah beg galas hitam dan sebuah beg kertas,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Pasangan berkenaan mendakwa bergerak dari Johor ke Woodlands untuk bercuti, namun tujuan sebenar wang tunai sebanyak itu dibawa ke republik itu masih dalam siasatan.
“Alasan mengapa wang itu tidak diisytiharkan masih disiasat pihak berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Setakat semakan awal, tiada rekod penyelewengan melibatkan pasangan itu,” katanya.
Wang tunai dan kenderaan terbabit telah disita dan diserahkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut.
Pasangan itu akan direman pada Rabu dan kes disiasat mengikut Peraturan 55(1)(b), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
“Individu yang membawa wang tunai melebihi nilai bersamaan AS$10,000 (kira-kira RM40,000) wajib membuat pengisytiharan kepada pihak berkuasa. Kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada tindakan undang-undang,” tegas Mohd Nasaruddin.


