PADANG TERAP – Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan daun ketum di sempadan Malaysia-Thailand pada Jumaat.
Menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia, kejadian itu berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.
“Pada jam 3.30 petang, pasukan beroperasi berjaya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diiringi oleh beberapa motosikal dalam keadaan mencurigakan melalui laluan di sempadan Malaysia,” katanya.
Menurutnya, pasukan operasi bertindak mengejar semua kenderaan itu dan mendapati sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal telah terbalik dipercayai hilang kawalan ketika cuba melarikan diri.
Katanya, hasil pemeriksaan dari kenderaan dan motosikal yang terbalik itu telah menemui bungkusan dipercayai daun ketum sebanyak sembilan guni putih dan 33 plastik hitam yang berisi daun ketum dengan jumlah berat keseluruhan sebanyak 628 kilogram bernilai RM18,840.00.
Kesemua daun ketum tersebut dipercayai cuba dibawa keluar dari Malaysia ke Thailand melalui laluan tidak sah.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia telah membuat laporan di balai polis Kuala Nerang dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan daun ketum termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal jenis Honda Wave 110i berjumlah RM81,340.00.
“Tentera Darat Malaysia akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang akviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan,” katanya.





