
PUSA – Sarawak memperuntukkan RM650 juta bagi meneruskan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) pada 2027 sebagai langkah membantu golongan berpendapatan rendah dan rakyat yang layak menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyampaikan perkara itu ketika membacakan teks ucapan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Perasmian Regata Tandang Sari 2026 Edisi Ketiga di Dataran Tandang Sari, pada Sabtu.
Menerusi teks ucapan berkenaan, Abang Johari menegaskan bahawa bantuan bersasar itu merupakan antara komitmen kerajaan Sarawak untuk menjaga kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Kadar bantuan SKAS bagi 2027 ditetapkan sebanyak RM1,100 kepada isi rumah B40, RM600 kepada warga emas dan RM375 kepada individu bujang yang layak,” jelas beliau.
Ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada 12 Oktober lalu, Abang Johari turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup.
“Dalam mendepani peningkatan kos sara hidup, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal teguh dengan komitmen untuk melindungi golongan rentan, memperkasa keluarga dan memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir,” katanya ketika membentangkan belanjawan berkenaan.
Dalam pada itu, Douglas turut menyampaikan penjelasan Abang Johari mengenai kesinambungan beberapa inisiatif kebajikan lain yang bertujuan mengurangkan beban kewangan rakyat.
Antaranya, Manfaat Kesihatan Warga Emas diteruskan dengan peruntukan RM50 juta bagi membolehkan warga emas yang layak daripada isi rumah berpendapatan RM7,000 dan ke bawah menikmati rawatan pesakit luar tanpa tunai sehingga RM500 seorang setahun.
Kerajaan Sarawak turut meneruskan Bantuan Ihsan Kematian menerusi Kenyalang Gold Card dengan bantuan RM1,800 kepada waris pemegang kad yang layak, melibatkan peruntukan RM12 juta.
Selain itu, diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus diteruskan sepanjang Januari hingga Disember 2027 bagi meringankan perbelanjaan isi rumah.
Inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan kira-kira 716,000 pengguna domestik di seluruh Sarawak dengan implikasi kewangan berjumlah RM281 juta.
Dalam masa sama, subsidi bil air sebanyak RM5 sebulan turut diteruskan menerusi program air percuma dengan peruntukan RM35 juta yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 pengguna domestik.
Menurut teks ucapan tersebut, pelbagai inisiatif berkenaan mencerminkan usaha kerajaan Sarawak memperkukuh jaringan perlindungan sosial serta membantu rakyat mengurus perbelanjaan harian.
Langkah itu turut bertujuan melindungi pendapatan boleh guna rakyat melalui pemberian bantuan secara langsung, diskaun utiliti dan kemudahan kebajikan kepada golongan yang layak.


