
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkemas persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) menerusi Konvensyen GRS 2026 yang dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta dan pemerhati di Dewan Tun Mustapha, Kudat, pada Ahad.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, konvensyen berkenaan bertujuan memperkukuh kesepaduan kepimpinan, memperkemas persiapan menghadapi PRU16 serta menilai kemajuan agenda pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan penganjuran konvensyen tidak tertumpu di Kota Kinabalu sahaja.
“Konvensyen berkenaan dijangka melibatkan perwakilan daripada kesemua 26 kawasan Parlimen di Sabah, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
“Antara pengisian utama ialah ucaptama Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, selain sesi perkongsian oleh enam Timbalan Pengerusi GRS yang mewakili kepimpinan enam parti komponen gabungan itu,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Armizan berkata, konvensyen berkenaan berperanan sebagai wadah menghimpunkan kepimpinan pusat dan pimpinan utama bahagian bagi membincangkan hala tuju politik serta perkembangan agenda pembangunan rakyat dan negeri.
“Perbincangan konvensyen akan memberi tumpuan kepada dua perkara utama, iaitu memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi PRU16 serta menilai kemajuan pelaksanaan manifesto GRS dan agenda pembangunan negeri, khususnya SMJ 2.0.
“Kepimpinan parti di peringkat akar umbi yang tidak dapat menghadiri konvensyen secara fizikal turut diberi peluang mengemukakan pandangan dan maklum balas secara dalam talian,” jelasnya.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan akan disediakan menerusi platform yang disediakan oleh Sekretariat Ibu Pejabat GRS bagi memastikan suara dan pandangan kepimpinan akar umbi dapat disalurkan dalam perbincangan konvensyen.
“Konvensyen GRS 2026 dijangka menjadi platform bagi menyelaraskan gerak kerja kepimpinan gabungan itu, memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik akan datang serta memastikan agenda pembangunan negeri terus diberikan perhatian,” kongsinya.




