Kuasa pendakwaan semula terletak pada Peguam Negara, bukan PM

PUTRAJAYA – Prosiding undang-undang berkaitan kes Yayasan Akalbudi perlu diberikan ruang untuk diselesaikan melalui proses mahkamah tanpa tekanan politik, selaras prinsip kebebasan pendakwaan dan kedaulatan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan pendakwaan dalam menentukan seseorang dituduh semula terletak kepada Peguam Negara dan bukannya Perdana Menteri, selaras Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, keputusan pendakwaan hendaklah dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, fakta serta bukti bukannya tekanan atau kehendak politik di samping prinsip kebebasan pendakwaan mesti dihormati dalam amalan politik dan bukan sekadar dalam cadangan perubahan institusi.

“Prinsip kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan secara konsisten tanpa mengira kedudukan politik atau identiti mana-mana individu yang terlibat.

“Perdana Menteri bukan Pendakwa Raya. Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara, yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan, tertakluk kepada kerangka perlembagaan dan undang-undang yang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.

Beliau berkata, mana-mana pihak berhak mempersoalkan keputusan pendakwaan dan menuntut penjelasan yang munasabah, namun perbezaan keputusan antara kes tidak dengan sendirinya membuktikan berlakunya campur tangan politik atau layanan berat sebelah.

“Dalam kes ini, Jabatan Peguam Negara telah memberikan penjelasan mengenai alasan permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).

“Kritikan terhadap sesuatu keputusan perlu disokong oleh fakta dan asas yang jelas, bukannya andaian atau tekanan politik semata-mata,” katanya.

Azalina berkata, partinya turut mempertahankan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang dan tiada sesiapa harus diberikan kekebalan daripada undang-undang hanya kerana jawatan atau kedudukan politik.

“Mana-mana individu, termasuk pemimpin UMNO, berhak mendapat proses undang-undang yang adil dan tidak boleh dijadikan sasaran pendakwaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik.

“Prinsip keadilan mesti terpakai kepada semua, sama ada pemimpin kerajaan, pembangkang atau rakyat biasa,” katanya.

Berhubung cabaran terhadap keputusan pendakwaan dalam kes Yayasan Akalbudi, beliau berkata Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan prosiding semakan kehakiman.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO memaklumkan, prosiding berkaitan masih berjalan dan persoalan undang-undang yang dipertikaikan hendaklah diputuskan oleh mahkamah.

“Desakan politik supaya Perdana Menteri menentukan tindakan pendakwaan bukan pengganti kepada proses tersebut.

“UMNO menghormati hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran undang-undang yang tersedia dan pada masa yang sama menegaskan bahawa proses mahkamah mesti diberikan ruang untuk berjalan tanpa tekanan politik,” katanya.

Tambahnya, kebebasan pendakwaan, akauntabiliti institusi dan kesamarataan di sisi undang-undang bukan prinsip yang boleh dipilih mengikut kepentingan politik.

“UMNO akan terus mempertahankan prinsip bahawa undang-undang mesti ditegakkan secara adil, proses kehakiman mesti dihormati dan keputusan pendakwaan tidak seharusnya ditentukan oleh desakan politik terhadap mana-mana individu,” katanya.

Related Posts

Raja-Raja Melayu tegaskan pertikaian takhta Negeri Sembilan bukan bahan politik

KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu mengingatkan semua pihak supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berautoriti menyelesaikannya mengikut saluran sah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tuanku Muhriz zahirkan Azrin Khairi Undang Luak Jelebu ke-17

KUALA LUMPUR – Datuk Azrin Khairi hari ini dimasyhurkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 menerusi Istiadat Menghadap di Istana Besar Seri Menanti, di sini, yang disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Big Sabah Car Show 2026 berpotensi jadi tarikan utama pelancongan Sabah

Big Sabah Car Show 2026 berpotensi jadi tarikan utama pelancongan  Sabah

Penduduk rayu campur tangan Sultan Pahang isu tanah Chemomoi

Penduduk rayu campur tangan Sultan Pahang isu tanah Chemomoi

Teknologi AI mampu perkasa pembangunan bakat muda bola sepak Sabah – Masidi

  • By Ithma
  • October 14, 2026
Teknologi AI mampu perkasa pembangunan bakat muda bola sepak Sabah – Masidi

Raja-Raja Melayu tegaskan pertikaian takhta Negeri Sembilan bukan bahan politik

Raja-Raja Melayu tegaskan pertikaian takhta Negeri Sembilan bukan bahan politik

Tuanku Muhriz zahirkan Azrin Khairi Undang Luak Jelebu ke-17

Tuanku Muhriz zahirkan Azrin Khairi Undang Luak Jelebu ke-17

Polis siasat insiden pelancong Itali dibaling batu

Polis siasat insiden pelancong Itali dibaling batu