SEREMBAN – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan tindakan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) memfailkan saman terhadap kerajaan negeri sebagai perkara yang belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.
Aminuddin yang menerajui kerajaan Negeri Sembilan selama dua penggal berkata, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan kerana ia membabitkan bekas anggota pentadbiran negeri yang menyaman kerajaan negeri sendiri.
“Hari ini saya terperanjat apabila 10 bekas Exco Negeri Sembilan memfailkan saman terhadap kerajaan negeri, kerajaan mereka sendiri. Kerajaan saman kerajaan, menuntut kos daripada kerajaan.
“Ini adalah satu perkara yang tak pernah berlaku. Saya pun rasa ramai tertanya-tanya dan menghubungi saya menyatakan apa yang berlaku hari ini.
“Tak pernah dalam sejarah Malaysia, tak tahu bagaimana ia boleh berlaku dan siapa yang menasihati dan akhirnya mengundang banyak-banyak perkara yang sepatutnya diselesaikan lebih awal,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook, semalam.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau yakin semua pihak sudah menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.
Katanya, semua pihak termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu perlu menerima keputusan berkenaan serta memberi ruang kepada kerajaan yang dibentuk untuk melaksanakan tanggungjawab pentadbiran.
Bagaimanapun, Aminuddin berkata, walaupun sudah memasuki Oktober, krisis yang berlaku di negeri itu masih berterusan sehingga menimbulkan pelbagai perkembangan yang akhirnya merugikan Negeri Sembilan.
Beliau berharap semua pihak dapat menghentikan sebarang tindakan yang boleh memanjangkan kemelut berkenaan dan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat serta masa depan negeri.
Katanya, segala perbezaan sepatutnya diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya supaya pentadbiran negeri dapat berjalan lancar tanpa terus dibelenggu pertikaian.







