MANJUNG – Seorang lelaki maut selepas Perodua Kembara dipandunya terbabas di KM 211.8 Lebuhraya Persisir Pantai Barat (WCE) arah Utara, dekat Sitiawan, di sini pada Selasa.
Mangsa, Nurul Kamal Zulkarnain, 37, merupakan seorang Guru Takmir Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Seri Iskandar dan Imam Masjid As-Siddiq, Seri Iskandar.
Difahamkan, sebelum itu, mangsa baharu melawat isterinya di Hospital Seri Manjung selepas melahirkan anak pada Isnin lalu.
Nahas berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang semula ke Seri Iskandar untuk menjemput anak yang lain di sekolah,
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kembara terbabas ke kawasan ladang kelapa sawit di tepi Lebuhraya WCE.
“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang.
“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),”katanya.
Mengulas lanjut, Sabarodzi menjelaskan anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.
“Ketua operasi kemudiannya melakukan size up dan mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamatkan Mangsa Terperangkap) sebelum mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.37 petang.






