
PAPAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap peruntukan bagi Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dapat ditingkatkan menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh pelaksanaannya di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN komited untuk terus menambah baik pelaksanaan program berkenaan selepas ia dijadikan inisiatif tetap kerajaan sejak 2024.
“Di bawah Kerajaan MADANI, PJRM telah menjadi inisiatif tetap dan bukan sekadar program jualan murah bermusim.
“Sebaliknya, ia terus diperkasakan sebagai ikhtiar kos sara hidup yang terancang, berterusan dan mudah diakses oleh rakyat di seluruh negara,” ujarnya dalam kenyataan, pada Ahad.
Menurut Armizan, PJRM kini dilaksanakan setiap bulan di seluruh negara meliputi keseluruhan 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 40 zon Wilayah Persekutuan.
“Pelaksanaannya diperkasakan secara berperingkat antara 2024 hingga 2026, termasuk dengan menetapkan sasaran tahunan dan bulanan serta kekerapan penganjuran mengikut DUN dan zon.
“Peruntukan khusus yang disediakan bermula Belanjawan 2024 turut membolehkan KPDN menetapkan sasaran pelaksanaan serta memperluaskan akses program kepada rakyat,” kongsinya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, PJRM menawarkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.




