Fadhlina jawab tujuh langkah radikal Asyraf Wajdi, KPM sudah laksana tangani buli

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menjelaskan sebahagian besar cadangan membanteras buli di sekolah yang dikemukakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebenarnya sudah dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM).

Fadhlina berkata, cadangan meningkatkan pemantauan di asrama sememangnya bertepatan dengan usaha KPM apabila lebih 10,000 warden asrama kini bertugas, selain 300 Pembantu Warden Asrama ditambah sejak April lalu.

Menurutnya, pembantu warden berkenaan membantu memastikan keselamatan dan kebajikan murid, khususnya pemantauan pada waktu malam supaya sebarang risiko atau kejadian dapat dikesan serta ditangani lebih awal.

Beliau turut menegaskan KPM tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk buli, dengan garis panduan berkaitan sudah diperkenalkan sejak sekurang-kurangnya 2010 dan diperkukuh menerusi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli 2023.

“Kalau sesuatu kes mempunyai unsur jenayah, sekolah tidak boleh mengambil alih tugas polis dan menyelesaikannya sebagai kes disiplin semata-mata. Kes perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial pada Sabtu.

Fadhlina berkata, penggubalan Akta Antibuli juga bertujuan memastikan pengurusan kes buli tidak lagi bergantung kepada garis panduan sekolah semata-mata.

Katanya, institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang, manakala mangsa mempunyai saluran kepada Tribunal sekiranya aduan tidak ditangani dengan sewajarnya.

“Kalau ada pentadbir atau guru yang cuai atau cuba melindungi kes, tindakan mesti diambil,” katanya.

Dalam masa sama, KPM turut melakukan pembaharuan terhadap Portal Aduan Buli dengan memperkenalkan fungsi aduan tanpa nama bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.

Menurut Fadhlina, langkah itu penting kerana terdapat murid yang takut untuk bersuara kerana bimbang terhadap kesan selepas membuat laporan.

“Kita kena pastikan mereka ada jalan untuk bersuara dan yakin bahawa apabila mereka bersuara, ada orang yang akan bertindak,” katanya.

Beliau berkata, KPM juga sedang memperluaskan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama kepada 333 sekolah tahun ini.

Katanya, pemasangan CCTV memberi tumpuan kepada lokasi seperti tangga, koridor, bilik persediaan dan kawasan terpencil yang dikenal pasti memerlukan pemantauan lebih rapi.

Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan CCTV bukan penyelesaian tunggal, sebaliknya perlu disokong pemantauan manusia dan kepakaran keselamatan termasuk daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Mengulas cadangan mewujudkan sistem amaran awal, beliau berkata, sekolah sebenarnya sudah diarahkan sejak 2010 untuk mengenal pasti tanda-tanda buli lebih awal dan mengambil tindakan sebelum keadaan menjadi serius.

“Sekarang kita pergi lebih jauh. Kita ada pemantauan, saluran aduan dan SAFE, iaitu intervensi antibuli yang dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah.

“Kita tak mahu tunggu sampai ada kes besar baru hendak bergerak,” katanya.

Fadhlina turut menegaskan tidak wujud istilah ‘senior ajar junior’ sekiranya ia merujuk kepada tindakan memukul, mengugut atau memalukan pelajar.

Menurutnya, menerusi SAFE, usaha pencegahan dilaksanakan di seluruh sekolah dengan melibatkan murid, guru dan komuniti sekolah bagi memutuskan budaya yang membenarkan buli.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan kerana mereka mungkin menjadi pihak pertama yang mengesan perubahan tingkah laku anak.

“Kalau senioriti membuatkan junior takut untuk bersuara, itu bukan tradisi. Itu budaya yang kita kena hentikan,” katanya.

Fadhlina berkata, usaha membanteras buli memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk penambahan warden, pemasangan CCTV, pengukuhan garis panduan serta penyediaan saluran aduan.

“Dalam masa yang sama, usaha membanteras buli perlu bergerak lebih jauh. Kita juga perlu melihat bagaimana anak-anak memahami kekerasan, melayan mereka yang lebih lemah dan berani bersuara apabila melihat sesuatu yang salah.

“Kita semua ada bahagian dalam memastikan anak-anak kita selamat,” katanya.

Related Posts

Belanjawan 2027: Dana pembangunan Sabah, Sarawak perlu ditingkatkan

KOTA KINABALU – Peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2027 diharap sekurang-kurangnya dikekalkan pada kadar semasa atau ditingkatkan berdasarkan kemampuan kewangan negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Baki RM900 juta Pemberian Khas Sabah dijangka dibayar sebelum hujung tahun

KOTA KINABALU – Baki RM900 juta daripada Pemberian Khas interim RM1.5 bilion kepada Sabah dijangka dibayar sekali gus sebelum hujung tahun ini selepas proses berkaitan di Parlimen dan pewartaan selesai.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Kapasiti asrama SMK Majakir meningkat kepada 300 murid

Lapan laluan Bas.My dijajar semula, liputan capai 70 peratus kawasan utama DBKK

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Lapan laluan Bas.My dijajar semula, liputan capai 70 peratus kawasan utama DBKK

Living Lab berpotensi jadi model pembangunan komuniti Sabah, Sarawak

Living Lab berpotensi jadi model pembangunan komuniti Sabah, Sarawak

Belanjawan 2027: Dana pembangunan Sabah, Sarawak perlu ditingkatkan

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Belanjawan 2027: Dana pembangunan Sabah, Sarawak perlu ditingkatkan

Baki RM900 juta Pemberian Khas Sabah dijangka dibayar sebelum hujung tahun

  • By Ezmie
  • September 26, 2026
Baki RM900 juta Pemberian Khas Sabah dijangka dibayar sebelum hujung tahun

Mustapha gesa ibu bapa luang masa dampingi calon SPM

Mustapha gesa ibu bapa luang masa dampingi calon SPM