
KOTA KINABALU – Penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu mengambil kira nisbah perwakilan kedua-dua wilayah dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat, bukan sekadar menambah jumlah kerusi sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, perkara itu penting bagi memastikan peningkatan kerusi benar-benar memperkukuh representasi Sabah dan Sarawak dalam menentukan dasar-dasar penting negara.
“Peningkatan ini bukan peningkatan biasa, maknanya bukan kita tingkatkan bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak tetapi pada masa sama ada peningkatan kerusi di Semenanjung.
“Nisbahnya mesti betul sebab kita tidak mahu apa-apa dasar yang diputuskan di negara ini hanya diputuskan secara sepihak.
“Kita mahu representasi Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak ditambah supaya suara kedua-dua wilayah dapat dibawa dalam menentukan dasar-dasar penting negara,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku The Transformative Integrated Living Lab (TILL): From Philosophy to Practice Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 di sini, pada Sabtu.

Menurut Mustapha, perkara berkenaan antara yang dibincangkan dalam pertemuan awal antara Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kaedah penambahan kerusi Parlimen bagi kedua-dua wilayah.
“Antara perkara yang dibincangkan ialah aspirasi untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak, termasuk cadangan 35 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.
“Bagaimanapun, SPR memaklumkan perkara itu memerlukan kajian terperinci sebelum sebarang mekanisme dapat ditentukan.
“Sehubungan itu, sebuah jawatankuasa khas diwujudkan di bawah Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memperincikan perkara berkenaan termasuk garis masa pelaksanaannya.
“Jawatankuasa yang dicadangkan itu akan melibatkan SPR, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), BHESS serta wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, jumlah pengundi di sesuatu kawasan antara perkara yang boleh dipertimbangkan dalam menentukan penambahan kerusi.
“Kalau di Sabah, antara Parlimen yang perlu diberi tumpuan ialah Sepanggar yang mempunyai bilangan pengundi teramai di Sabah.
“Kalau di DUN pula, pengundi paling ramai di DUN Inanam, jadi ini pun mungkin boleh dijadikan satu Parlimen.
“Ini antara cadangan yang banyak dikemukakan, tetapi ia akan bergantung kepada bilangan pengundi di sesuatu lokasi,” kongsinya.
Pada 22 September lalu, Mustapha mengetuai delegasi BHESS dalam kunjungan hormat kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bagi memulakan libat urus mengenai hala tuju dan mekanisme pelaksanaan cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
Pertemuan itu antara lain membincangkan aspek perlembagaan, perundangan dan teknikal termasuk persempadanan bahagian pilihan raya, keperluan data serta bentuk libat urus antara kerajaan, SPR dan pihak berkepentingan. Ketika ini Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi atau 25.3 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat, manakala cadangan dikemukakan adalah meningkatkan perwakilan kepada 35 peratus.
Dalam pada itu, pada Jumaat, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak turut meminta penjelasan mengenai sasaran sebenar penambahan kerusi itu, termasuk sama ada kerajaan berhasrat mencapai perwakilan satu pertiga untuk Sabah dan Sarawak atau sekadar meningkatkan jumlah kerusi.
Salleh berpandangan pertambahan jumlah kerusi sahaja tidak semestinya mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak sekiranya kerusi di Semenanjung turut bertambah sehingga nisbah keseluruhan tidak banyak berubah.
Foto: Universiti Malaysia Sabah (UMS)






