
KOTA KINABALU – Galeri Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kini dibuka kepada orang awam bermula hari ini bagi memberi peluang kepada masyarakat menelusuri sejarah kepolisan di negeri itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Jikun, berkata, pembukaan galeri berkenaan membolehkan masyarakat melihat sendiri perkembangan sejarah kepolisan Sabah, termasuk koleksi kelengkapan, gambar logistik, mesin taip, alat perhubungan dan senjata yang digunakan dari era penjajahan hingga zaman moden.
“Galeri ini turut mempamerkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di Sabah, termasuk gambaran peristiwa besar serta senjata yang digunakan dalam beberapa insiden, khususnya peristiwa berdarah di Lahad Datu pada 2013.
“Insya-Allah selepas ini kita mengalu-alukan kehadiran daripada mana-mana pihak untuk sama-sama hadir melihat sendiri perkembangan sejarah kepolisian Sabah.
“Jumlah bayaran masuk masih belum ditetapkan dan akan dinilai selepas beberapa lawatan dijalankan,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Galeri Polis Sabah kepada awam di IPK Sabah, pada Khamis.

Menurut Jauteh, pengunjung perlu menghubungi pegawai yang bertanggungjawab terlebih dahulu bagi menetapkan tarikh lawatan berikutan kawasan galeri merupakan kawasan larangan dan setiap pengunjung perlu didokumentasikan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Galeri berkenaan dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang, manakala lawatan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan.





