
KUANTAN – Lebih 130 penggiat seni memeriahkan sambutan Hari Malaysia melalui penganjuran Kuantan Flash Mob – Kita Malaysia di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Pahang, di sini hari ini.
Bertemakan pakaian Malaysia iaitu tradisional retro eknik, nelayan, petani serta busana Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, sambutan itu memberi keunikan tersendiri.
Menurut laporan Berita Harian, program itu bermula jam 8 pagi apabila semua peserta berkumpul di perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, sebelum berarak sejauh kira-kira satu kilometer ke KOMBES.
Selain mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Pahang, sepanduk Kita Malaysia sebagai tanda dan semangat cintakan negara dan mengukuhkan perpaduan.
Wakil program, Azian Ali berkata, penggiat seni menyertai Kuantan Flash Mob itu berumur antara lima dan 65 tahun membabitkan pelbagai kaum.
Katanya, peserta turut menunggang basikal tua dalam memberikan kelainan.
“Pelbagai acara diadakan di KOMBES seperti nyanyian dan tarian lagu rakyat dalam memberikan kemeriahan.
“Kita mungkin berbeza budaya, pakaian dan latar belakang tetapi kita berkongsi satu identiti iaitu Kita Malaysia,” katanya.
Penganjuran Kuantan Flash Mob lebih kepada merapatkan hubungan dalam kalangan penggiat seni di daerah ini.
“Dengan sambutan ini, kita harap penganjuran Kuantan Flash Mob – Kita Malaysia akan mendapat sambutan selepas ini dengan pembabitan semua lapisan masyarakat,” katanya.




