Parti kucing, parti janda dan ego tiga penjuru menjelma di Kedah

KENYATAAN Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin letika membahaskan isu politik Kedah pada Perhimpunan Agong UMNO semalam ternyata mengundang perhatian ramai, khususnya dalam kalangan ahli politik dan penyokong Parti Wawasan.

Kenyataan bahawa UMNO Kedah tidak akan bekerjasama dengan apa yang dilabel sebagai ‘parti kucing’, khususnya dalam sebarang perbincangan kerjasama antara Pas dan UMNO di Kedah, bukan sekadar satu sindiran politik biasa.

Bagi ahli Parti Wawasan yang merasakan parti mereka baru sahaja ‘dilahirkan’, label tersebut sudah tentu menggores perasaan.

Persoalannya, apakah UMNO begitu besar sehingga boleh memandang rendah kepada parti yang dianggap kecil?

Atau apakah rasa besar itu datang daripada sejarah kegemilangan UMNO yang semakin lama semakin tinggal sebagai cerita nostalgia?

Ironinya, parti yang dilabel sebagai ‘cap keris’ itu seolah-olah bercakap dari kedudukan sebuah parti yang masih memiliki kekuatan luar biasa di Kedah.

Hakikat politik pada pilihan raya lalu jauh berbeza.

UMNO bukan sahaja gagal mempertahankan pengaruhnya seperti dahulu, malah kerusi yang dipertandingkan turut tumbang.

Jadi, apabila sebuah parti yang sedang bergelut untuk bangkit kembali memandang rendah kepada parti lain dengan gelaran ‘parti kucing’, rakyat tentunya berhak bertanya:

Siapa sebenarnya yang sedang mengeong?
Politik tidak mengenal nostalgia.
Kerusi adalah ukuran.
Undi adalah ukuran.
Kekuatan akar umbi adalah ukuran.
Bukan sejarah.
Bukan lambang.
Dan bukan juga cerita bahawa dahulu UMNO pernah menjadi parti paling kuat di Kedah.

Bagi penulis apa yang lebih menarik, parti yang digelar ‘parti kucing’ itu sekurang-kurangnya mempunyai kerusi yang boleh dibawa ke meja rundingan.

UMNO pula bagaimana?
Jika benar UMNO mahu kembali menjadi kuasa besar di Kedah, mungkin sudah tiba masanya untuk berhenti memandang rendah kepada parti kecil dan mula bertanya mengapa rakyat sendiri pernah menolak mereka.

Lebih menarik lagi, parti yang dikatakan kecil itu turut mempunyai peranan dalam perubahan politik Kedah sehingga pemerintahan Pakatan Harapan dapat ditumbangkan.

Jadi, kalau benar ia hanya ‘parti kucing’, bagaimana seekor kucing boleh membantu mengubah peta politik sebuah negeri?

Mungkin kucing itu tidak sebesar harimau.
Tetapi jangan lupa, harimau yang terlalu yakin dengan belangnya sendiri pun boleh tersadung perangkap.

Pas pula semakin ‘galak’ mahu bernikah dengan UMNO.

Dalam keadaan ini, Pas pula dilihat semakin bersungguh-sungguh membuka ruang untuk kembali bersama UMNO.
Kononnya UMNO sudah berubah.

Kononnya UMNO semakin kuat.
Kononnya kerjasama Melayu dan Islam perlu diperkukuhkan.

Perpaduan ummah katakan….

Tetapi dalam masa yang sama, muncul pula suara yang menghina parti yang lebih kecil.
Di sinilah rakyat mula tertanya-tanya.

Kalau perjuangan itu benar-benar untuk Melayu dan Islam, mengapa ego parti masih menjadi tembok?

Bukankah kekuatan Melayu dan Islam itu sepatutnya dibina atas asas saling menghormati?

Atau perjuangan hanya menjadi indah ketika berada di atas pentas ceramah dan perhimpunan, tetapi apabila sampai ke meja rundingan, masing-masing mahu menjadi abang besar?

Wawasan mahu ke mana?

Persoalan paling besar sekarang ialah ke mana hala tuju Parti Wawasan sekiranya UMNO dan Pas benar-benar enggan menerima mereka dalam formula politik Kedah?

Adakah Wawasan akan menjadi ‘parti gelandangan’, bergerak sendirian tanpa payung politik yang lebih besar?

Bagi penulis politik hari ini bukan lagi zaman satu parti boleh berjalan seorang diri dengan penuh keyakinan.

Politik moden bergerak melalui gabungan, persefahaman dan pakatan.
Parti besar memerlukan parti kecil.
Parti kecil pula memerlukan parti besar.

Itulah realiti politik.
Bagi penulis tidak ada siapa yang boleh mendakwa dirinya terlalu besar sehingga tidak memerlukan sesiapa.

Jangan sampai ‘parti janda’ pula lahir
Lebih sinis lagi, sejarah politik Melayu sendiri sudah menunjukkan bahawa perkahwinan politik tanpa persefahaman boleh berakhir dengan perceraian.

Pas dan Bersatu pernah bekerjasama.
Kemudian hubungan itu retak.
Kalau sekarang Pas mahu ‘bernikah’ pula dengan UMNO, persoalannya adakah Wawasan akan menjadi tetamu di majlis perkahwinan itu, atau bakal menjadi mangsa perceraian politik yang seterusnya?

Jangan sampai selepas ini rakyat menyaksikan kelahiran sebuah lagi gelaran politik: ‘parti janda muda’.

Hari ini berganding bahu.
Esok bertelagah.
Lusa bersalaman semula.
Kemudian rakyat pula yang pening melihat siapa sebenarnya pasangan dan siapa pula bekas pasangan.

Sebenarnya kerjasama tiga penjuru antara Pas, UMNO dan Wawasan di Kedah boleh menjadi satu formula yang menarik sekiranya ketiga-tiganya sanggup meletakkan ego masing-masing di tepi.

UMNO perlu mengakui bahawa zaman kegemilangannya tidak boleh dijadikan lesen untuk memandang rendah parti lain.

Pas pula perlu sedar bahawa menjadi parti terbesar bukan bermakna boleh menentukan segala-galanya seorang diri.

Wawasan pula perlu membuktikan bahawa mereka bukan sekadar parti yang mahu menumpang kekuatan orang lain.

Jika ketiga-tiga parti benar-benar yakin bahawa perjuangan mereka adalah untuk Melayu, Islam dan rakyat Kedah, maka apa salahnya duduk semeja?

Tetapi kalau masing-masing mahu menjadi ‘hero utama’, akhirnya pakatan yang dicanang hanya tinggal nama.

Akhirnya, rakyat bukan terlalu berminat dengan siapa lebih besar.
Rakyat mahu tahu satu perkara:
Adakah semua ini benar-benar perjuangan untuk rakyat, Melayu dan Islam atau sekadar perjuangan untuk mendapatkan kuasa?

Itulah persoalan yang perlu dijawab.
Kalau benar ikhlas mahu memperjuangkan Melayu dan Islam, tunjukkan melalui tindakan.

Bukan sekadar slogan.
Bukan sekadar ceramah.
Bukan sekadar menghunus simbol dan melontarkan gelaran kepada parti lain.

Malah, jika benar-benar mahu membuktikan keikhlasan, penulis mencadangkan supaya pemimpin-pemimpin yang terlibat berani membuat pengorbanan politik yang sebenar termasuk mempertimbangkan pembubaran salah satu kerajaan negeri dalam formula SG4 jika itu benar-benar diperlukan untuk membuktikan bahawa kepentingan rakyat lebih utama daripada kepentingan parti.

Kerana rakyat hari ini sudah semakin matang.
Mereka boleh membezakan antara perjuangan dengan lakonan politik.

Mereka juga boleh membezakan antara pemimpin yang sanggup berkorban demi rakyat dengan pemimpin yang sanggup mengorbankan rakyat demi kuasa.

Jadi kepada UMNO, Pas dan Wawasan letakkan ego di luar bilik rundingan.
Jangan terlalu sibuk menentukan siapa kucing, siapa harimau dan siapa singa.

Kerana dalam pilihan raya, semua haiwan politik akhirnya terpaksa turun ke jalan dan meminta undi daripada rakyat.
Dan rakyatlah yang memegang kunci sangkar.

Kalau ego terus menjadi raja, jangan terkejut kalau akhirnya bukan sahaja pakatan yang tinggal nama malah seluruh percaturan politik Kedah berubah di luar jangkaan.

Related Posts

PMX kekal fokus bekerja, rakyat semakin matang menilai politik — Dr Sahul Hamid

PENDEKATAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak mengambil alih pentadbiran negara memperlihatkan kecenderungan untuk tidak terlalu melayan tekanan serta kritikan politik, sebaliknya memberikan tumpuan kepada tugas pentadbiran dan usaha memperkukuh kedudukan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar bincang konflik Gaza, ketegangan di Asia Barat dengan pemimpin BRICS

NEW DELHI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan di sela-sela majlis makan malam bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 untuk berbincang dengan beberapa pemimpin dunia mengenai…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Naik taraf Lapangan Terbang Sandakan tepat pada masanya

  • By Fandi
  • September 13, 2026
Naik taraf Lapangan Terbang Sandakan tepat pada masanya

Fiesta Rakan Muda Pahang rekod 10,000 pengunjung

Fiesta Rakan Muda Pahang rekod 10,000 pengunjung

Parti kucing, parti janda dan ego tiga penjuru menjelma di Kedah

Parti kucing, parti janda dan ego tiga penjuru menjelma di Kedah

PMX kekal fokus bekerja, rakyat semakin matang menilai politik — Dr Sahul Hamid

PMX kekal fokus bekerja, rakyat semakin matang menilai politik — Dr Sahul Hamid

Anwar bincang konflik Gaza, ketegangan di Asia Barat dengan pemimpin BRICS

Anwar bincang konflik Gaza, ketegangan di Asia Barat dengan pemimpin BRICS

‘Guru minta izin nyanyi kejap’, lagu Hindi klasik dendangan Anwar curi perhatian

‘Guru minta izin nyanyi kejap’, lagu Hindi klasik dendangan Anwar curi perhatian