
MIRI – Kesemua lima individu yang menaiki helikopter berdaftar 9M-LLF ditemukan maut di dalam bangkai pesawat yang terhempas dan terbakar di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang pada petang Selasa.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihak berkuasa menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 3.40 petang sebelum pasukan keselamatan segera digerakkan ke lokasi.
Pesawat berkenaan dipercayai terhempas ketika sedang mendarat pada jam 3.21 petang bagi tujuan bermalam sebelum dijadualkan meneruskan penugasan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Tanjong Durian.
“Helikopter tersebut berlepas dari Miri pada jam 10.21 pagi sebelum mendarat di Ba’ Lai pada jam 11.39 pagi bagi melaksanakan tugasan FDS. Pesawat itu kemudiannya menuju ke Long Siut pada jam 1.41 petang bagi tujuan mengisi minyak,” katanya dalam satu sidang media pada Rabu.

Lima mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; serta pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31. Turut maut ialah dua orang jururawat iaitu SN Debra Moset, 40, dan SN Jessie Paya Jok, 44.
Beliau menjelaskan bahawa identiti awal kesemua mangsa dikenal pasti melalui pengecaman barangan peribadi pada jasad, namun pengesahan rasmi akan dilaksanakan menerusi ujian sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
Kesemua jenazah mangsa akan diterbangkan ke Hospital Miri bagi tujuan bedah siasat.
Susulan tragedi itu, Pusat Operasi Kecemasan (EOC) di Lapangan Terbang Miri telah diaktifkan melibatkan seramai 67 anggota daripada pelbagai agensi.
Pasukan bersepadu yang dibantu empat buah pesawat itu terdiri daripada PDRM, JBPM, KKM, APM, MAHB dan Layang-Layang Aerospace.
Siasatan menyeluruh di lokasi kejadian kini dikendalikan oleh pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sarawak bersama Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Zon Miri.
Helikopter model BO 105 S (CBS 5) buatan Jerman keluaran tahun 1991 tersebut dilaporkan telah digunakan bagi menyokong operasi petugas KKM di kawasan pedalaman Sarawak sejak tahun 2009.




