KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan beliau terlibat dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau menegaskan, tuduhan bahawa dirinya menghadiri mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menandatangani surat pengisytiharan bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz adalah palsu.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Ismail sendiri turut menafikan penglibatan beliau dalam mesyuarat berkenaan selain dakwaan
Katanya, dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar juga tidak benar.
“Tidak ada, tidak ada surat peletakan jawatan Menteri Besar. Saya tidak berada dalam mesyuarat itu dan beliau (Ismail) juga sudah menafikannya.
“Memang saya tidak berada dalam mesyuarat berkenaan,” katanya ketika ditemui media selepas Perasmian Taklimat Presiden sempena Perhimpuna Agung UMNO (PAU) 2026, pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan Pembesar Memerintah Negeri Sembilan, Undang Yang Empat mendedahkan surat yang ditandatangani Ismail bagi mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.
Pendedahan itu dibuat pada sidang akhbar semalam yang dihadiri Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.
Terdahulu, Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah memaklumkan proklamasi menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ditandatangani Ismail pada 3 Ogos 2026 di Port Dickson, dalam Luak Sungei Ujong adalah tidak sah dan tidak boleh berkuatkuasa.
Jelas beliau, Sidang Dewan Keadilan dan Undang pada 31 Julai 2026 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah memuktamadkan pengisytiharan 19 April 2026 itu tiada kesan undang-undang dan tidak boleh diguna pakai kerana tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.





