
JOHOR BAHRU – Tiga lelaki disyaki berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, semalam telah ditahan polis, malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata, dua lelaki warga asing dan seorang lagi warga tempatan berusia 39 hingga 70 tahun itu diberkas di sebuah hotel di Kota Tinggi kira-kira jam 10 malam bagi membantu siasatan.
“Tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi itu turut merampas pakaian dan aksesori dipercayai dipakai atau digunakan mereka ketika larian.
“Malah, sehelai sari merah, sehelai skirt merah, tiga keping kadbod berwarna perak serta sebatang tombak tiruan berwarna perak juga dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ujian air kencing dilakukan keatas ketiga-tiga peserta mendapati kesemuanya negatif dadah selain bebas daripada rekod jenayah lampau.
“Hasil siasatan awal mendapati tindakan ketiga-tiga suspek itu adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan.
“Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam,” katanya.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan, dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis serta menggugat ketenteraman awam.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi kepada mana-mana penganjur atau individu terlibat dalam pelanggaran etika penganjuran program larian di Kota Tinggi yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.
Ini susulan acara berkenaan tular petang semalam di media sosial memaparkan beberapa peserta berpakaian tidak senonoh selain mempromosikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Oleh demikian, Onn Hafiz menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci sebelum satu tindakan tegas diambil bagi mereka yang didapati terlibat dalam kesalahan itu.







