PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) giat berusaha memastikan capaian internet di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berada pada tahap tertinggi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, KPT sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk tujuan itu, sebagaimana diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu isu kelemahan capaian internet di IPTA diselesaikan segera.
“Perdana Menteri ingin memastikan semua IPTA dan politeknik dilengkapi capaian internet yang tinggi. Ini bermakna bukan sekadar ada tetapi juga ia perlu konsisten.
“Paling penting, capaian internet yang optimum membolehkan proses penyelidikan dan pembelajaran di universiti berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya selepas menghadiri program ‘In Person With Doc Zam’ di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah, malam tadi.
Zambry berkata, kajian berkait usaha meningkatkan capaian Internet di semua universiti awam telah dijalankan dan peringkat seterusnya akan membabitkan politeknik.



