
KUCHING – Penganjuran Latihan dan Karier Sarawak (SCaT) Fair 2024 pada kali ini menjadi platform golongan belia menerokai pelbagai bidang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, usaha itu memberi fokus bidang berkaitan dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Penglibatan industri seperti institusi pengajian tinggi dan badan bantuan kewangan, pelajar, belia dan pengunjung dapat mengenal pasti laluan pendidikan yang bersesuaian,” kata beliau.
Tambah beliau, melalui penganjuran SCaT, mereka dapat menjalin rangkaian dengan pelbagai pihak yang mungkin dapat membantu mereka pada masa depan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Perasmian SCaT Fair di Hikmah Exchange pada Sabtu.
Sementara itu, majlis ini dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pameran SCaT pada kali ini turut menyediakan sesi temu duga terbuka, ceramah kerjaya, dan pertandingan inovasi yang membolehkan peserta mempamerkan bakat mereka dalam pelbagai bidang.
Inisiatif ini seiring dengan visi Sarawak untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
Pameran ini berlangsung selama dua hari dan terbuka kepada orang ramai yang ingin menerokai peluang pendidikan dan kerjaya.




