Belanjawan 2027 fokus tingkat pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti

PUTRAJAYA – Peningkatan pendapatan rakyat, peluasan peluang pekerjaan berkualiti dan usaha menangani kos sara hidup akan terus menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2027.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Belanjawan 2027 yang bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai Di Langit, Mengakar di Bumi dirangka dengan mengambil kira cabaran ekonomi global serta jangkaan rakyat terhadap penyampaian kerajaan.

Katanya, tumpuan utama belanjawan itu adalah untuk memperkukuh daya tahan ekonomi, memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dan meningkatkan kemampanan fiskal negara.

“Kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, memperluas peluang pekerjaan berkualiti serta menangani cabaran kos sara hidup melalui pendekatan yang bersasar dan mampan.

“Matlamat utama adalah untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai dengan lebih menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Amir Hamzah berkata, agenda berkenaan turut merangkumi pendekatan menaikkan lantai bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Menurutnya, pendekatan itu selari dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya dalam memperkukuh sistem pendidikan, meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan memperkasa pembangunan modal insan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan turut mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil dan rakan strategik dalam memperluas penyampaian bantuan serta intervensi sosial, terutama kepada golongan rentan.

“Kerjasama berkenaan dilihat penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial supaya tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya.

Belanjawan 2027 turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan daya tahan dan daya saing ekonomi negara serta memperkukuh kedudukan fiskal.

Amir Hamzah berkata, kerajaan akan meneruskan usaha menaikkan siling ekonomi dengan menarik pelaburan berkualiti tinggi, meningkatkan produktiviti dan mempercepat pembangunan sektor strategik yang berpotensi menjana nilai tambah, pekerjaan berpendapatan tinggi serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Tumpuan akan terus diberikan kepada sektor seperti semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kewangan Islam.

“Kerajaan turut memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pemula sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan akses kepada pembiayaan, pendigitalan, inovasi dan pengembangan pasaran.

“Langkah itu bagi membolehkan lebih banyak produk dan perkhidmatan tempatan menembusi rantaian nilai global sebagai ‘Made by Malaysia’, selain menggalakkan budaya inovasi, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi,” katanya.

Dalam aspek tatakelola, beliau berkata kerajaan akan terus menambah baik peraturan, memudah cara pelaburan, memperluas pendigitalan penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Katanya, langkah itu penting bagi memperkukuh ekosistem perniagaan serta meningkatkan daya saing negara, di samping memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik untuk rakyat.

“Belanjawan 2027 akan menjadi instrumen utama bagi meneruskan momentum aspirasi RMK13 kepada tindakan nyata.

“Langkah-langkah yang dirangka akan terus berpaksikan empat tonggak utama meningkatkan kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat pelaksanaan agenda reformasi perkhidmatan awam serta mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam,” katanya.

Related Posts

Dasar tidak popular perlu dilaksana demi kepentingan jangka panjang – Amir Hamzah

PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus melaksanakan reformasi ekonomi meskipun menyedari sebahagian langkah yang diperkenalkan mungkin kurang popular dalam kalangan rakyat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Beliau…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM57.50 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 48 peratus berbanding RM38.92 bilion dalam tempoh sama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pindaan Akta Tabung Haji penting perkukuh tadbir urus, elak kelemahan berulang

Pindaan Akta Tabung Haji penting perkukuh tadbir urus, elak kelemahan berulang

Belanjawan 2027 fokus tingkat pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti

Belanjawan 2027 fokus tingkat pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti

Dasar tidak popular perlu dilaksana demi kepentingan jangka panjang – Amir Hamzah

Dasar tidak popular perlu dilaksana demi kepentingan jangka panjang – Amir Hamzah

FELDA Jengka 24 sasarkan pemasangan 10,000 Jalur Gemilang

FELDA Jengka 24 sasarkan pemasangan 10,000 Jalur Gemilang

TH sambut baik pindaan Akta Tabung Haji, perkukuh tatakelola institusi

TH sambut baik pindaan Akta Tabung Haji, perkukuh tatakelola institusi

Pucuk pimpinan yang tegas lagi teguh diperlukan untuk perangi rasuah – Ayob Khan

Pucuk pimpinan yang tegas lagi teguh diperlukan untuk perangi rasuah – Ayob Khan