
MIRI – Sarawak mempunyai potensi besar menjadi kuasa dalam hab tenaga baharu sekali gus menarik keyakinan pelaburan asing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan dengan negara lain sering memfokuskan kepada aspek tenaga dengan Sarawak menjadi tumpuan utama sebagai hab tenaga di Malaysia.
“Negara lain melihat kepada Sarawak dan tidak mempertimbangkan negeri lain untuk bekalan tenaga hijau, tenaga alternatif dengan hidrogen hijau.
“Ini menunjukkan potensi ekonomi Sarawak yang kukuh pada masa depan,” katanya semasa berucap dalam Program Madani Rakyat 2024 Sarawakku Sayang pada Sabtu.
Anwar juga mengumumkan kemajuan membanggakan dalam pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang kini telah mencapai tahap siap lebih 90 peratus.
“Lebuh raya ini tidak mengenakan bayaran tol kepada pengguna dan menjadikannya lebih mudah diakses kepada orang ramai,” kata beliau.
Selain itu, Anwar terus memberi jaminan usaha menaik taraf klinik-klinik daif menjadi keutamaan termasuk Miri.
“Antara klinik di Miri yang dinaik taraf ialah Klinik Kesihatan (KK) Long Bemang, KK Tudan, dan KK Jambatan Suai,” jelas beliau lagi.
Selain itu, tambah beliau, beberapa klinik untuk dibaik pulih di sekitar Miri seperti KK Long Loyang, KK Beluru dan KK Long Miri.







