SINGAPURA – Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja menerusi penugasan pasukan pemerhati ASEAN ke kawasan sempadan kedua-dua negara.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, tindakan pantas Malaysia dan ASEAN itu membuktikan komitmen serantau dalam memelihara keamanan, meredakan ketegangan serta memperkukuh usaha diplomatik secara bersama.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan menunjukkan negara-negara Asia Tenggara semakin bersedia memikul tanggungjawab lebih besar dalam memastikan kestabilan rantau ini.
“Negara-negara di rantau ini melangkah ke hadapan untuk memelihara keamanan, mengurangkan ketegangan dan menyokong diplomasi dengan keupayaan yang boleh dipercayai.
“Saya memuji Malaysia dan ASEAN atas usaha mereka menyokong perjanjian damai bersejarah Presiden Donald Trump,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada sesi Strategi Keamanan Amerika Syarikat di Indo-Pasifik sempena Dialog Shangri-La (SLD) Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) ke-23, di sini, hari ini.
Pada Oktober tahun lalu, Thailand dan Kemboja memeterai Perjanjian Damai Kuala Lumpur bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berlangsung di ibu negara Malaysia.
Perjanjian itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan disaksikan Presiden AS, Donald Trump, serta Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN ketika itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Hegseth berkata, Washington turut mengalu-alukan usaha negara-negara Asia Tenggara meningkatkan keupayaan pertahanan masing-masing bagi memperkukuh keselamatan serantau.
Menurutnya, Singapura terus menjadi antara rakan strategik utama AS menerusi pelaburan besar dalam sektor pertahanan serta peranannya sebagai pusat logistik dan penempatan bergilir aset ketenteraan Amerika.
Beliau berkata, Indonesia pula sedang mempercepat usaha pemodenan angkatan tenteranya selain memperluaskan latihan bersama AS bagi meningkatkan tahap kesalingoperasian.
“Indonesia juga sedang mengorak langkah besar dalam memodenkan angkatan tenteranya dan meluaskan skala latihan ketenteraan dengan AS, mengukuhkan kesalingoperasian dan memperkukuh kestabilan serantau.
“Thailand terus memperdalam kerjasama ketenteraan dengan AS untuk meningkatkan kesalingoperasian dan membangunkan kesediaan yang diperlukan. Kami juga melihat keseriusan tujuan yang sama daripada Vietnam,” katanya.
Beliau menegaskan peningkatan kerjasama pertahanan antara AS dan negara-negara Asia Tenggara membuktikan komitmen bersama untuk memastikan rantau Indo-Pasifik kekal aman, stabil dan makmur.





