
PAS dijangka mengukuhkan kerjasama politik dengan kumpulan yang diketuai bekas Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekali gus meningkatkan spekulasi mengenai masa depan hubungannya dengan Bersatu.
Pemerhati politik, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, mendakwa beliau menerima maklumat daripada sumber yang dipercayai bahawa kepimpinan tertinggi Pas kini semakin cenderung untuk menjarakkan hubungan dengan Bersatu, walaupun keputusan muktamad belum dibuat.
Menurutnya, perbincangan mengenai hala tuju politik itu sedang giat dilakukan dalam beberapa siri mesyuarat dan pertemuan di peringkat tertinggi parti.
“Saya dimaklumkan bahawa Pas semakin cenderung ke arah memutuskan hubungan dengan Bersatu, walaupun keputusan rasmi belum diumumkan.
“Pada masa sama, Pas dikatakan tidak bercadang meminggirkan beberapa tokoh utama pembangkang yang sebelum ini bertanding atas tiket Bersatu dan memenangi kerusi pada PRU15,” katanya menerusi siaran langsung di media sosial.
Beliau berkata, antara nama yang dikatakan masih mendapat pertimbangan ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Raggie turut mendakwa terdapat persetujuan umum dalam kalangan kepimpinan ulama Pas bahawa kerjasama yang lebih erat perlu diwujudkan dengan kumpulan Hamzah bagi menghadapi PRU16.
Katanya, perkembangan itu dilihat selari dengan spekulasi bahawa Hamzah bakal mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu dalam masa terdekat.
“Maklumat yang saya terima menunjukkan Pas melihat keperluan untuk bekerjasama secara rapat dengan kumpulan Hamzah menjelang pilihan raya akan datang.
“Persoalannya sekarang ialah sama ada Pas akan meninggalkan PN atau Bersatu yang akan keluar daripada gabungan itu,” katanya.
Menurut beliau, isu penggunaan logo PN dijangka menjadi faktor penting sekiranya berlaku perpecahan antara kedua-dua parti.
Jelasnya, jika Pas meninggalkan PN dan Bersatu terus menggunakan logo gabungan itu, keadaan berkenaan berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi, khususnya di kawasan luar bandar.
“Ramai pengundi di kampung mungkin masih mengaitkan logo PN dengan Pas. Jika Bersatu terus menggunakan logo itu, terdapat kemungkinan sebahagian pengundi tidak menyedari perubahan yang berlaku dalam gabungan berkenaan,” katanya.
Beliau berpandangan langkah lebih strategik bagi Pas adalah mengekalkan penguasaan terhadap PN dan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan itu sekiranya kerjasama dengan kumpulan Hamzah dimuktamadkan.
Katanya, pendekatan itu membolehkan Pas mengekalkan kesinambungan persepsi dalam kalangan penyokong sedia ada selain mengelakkan kekeliruan pengundi.
Mengulas prospek pilihan raya akan datang, Raggie menjangkakan PN akan kehilangan sejumlah besar kerusi susulan perpecahan dalam blok pembangkang.
Beliau berkata, situasi itu dijangka memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), khususnya dalam usaha merampas semula kerusi yang dimenangi Bersatu dan Pas pada PRU15.
“Saya menjangkakan BN akan mencatat peningkatan ketara dan mampu melepasi 50 kerusi Parlimen pada PRU16.
“Perpecahan dalam kalangan parti pembangkang dijangka memberi kesan besar kepada kekuatan PN, sama ada melibatkan Pas, Bersatu atau mana-mana kumpulan baharu yang muncul selepas ini,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada Pas, Bersatu mahupun Hamzah berhubung dakwaan berkenaan.




