
KUALA LUMPUR – Sebarang iklan atau bahan promosi yang mahu dikeluarkan oleh 99 Speedmart Retail Holdings Bhd didakwa memerlukan kelulusan dari pihak-pihak berkepentingan memperkasakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Malaysia.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan menyeru agar orang ramai bersama menyertai kempen boikot terhadap syarikat rangkaian kedai serbaneka bagi memberi tekanan kepada syarikat terlibat agar lebih peka terhadap kepentingan negara.
“Antara yang menyokong UEC ni adalah (99) Speedmart. Dengar baik-baik ya. 99 Speedmart ni iklan dia (kalau nak dikeluarkan) kena ada kelulusan UEC ni. Gila apa ni? Kau dekat negeri mana ni? Tapi tak apa. Kita nak tengok sekarang ni kita buat boikot.
“Tiada ada benda (rusuhan), kita senyum-senyum kali ni dengan cara kita boikot, kita perlu ajar beruk-beruk ni supaya mereka makan cili tak habis kali ini,” katanya pada sidang media bantahan UEC ke IPTA, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nadzim berpandangan, tindakan tidak menyokong syarikat terbabit tidak akan memberi kesan besar kepada pengguna, malah sebagai satu usaha mendidik syarikat berkenaan agar tiada lagi tindakan yang cuba mencabar perundangan.
Beliau turut menggesa umat Islam serta premis intitusi seperti masjid turut tidak membeli produk daripada kedai tersebut walaupun mereka menawarkan harga murah bagi menarik orang ramai.
“Kadang-kadang masjid pun beli air di situ (99 Speedmart), jangan lagi kita beli daripada diorang, kita mula perlahan-lahan bagi mereka rasa apa yang mampu kita lakukan di mana kita tidak akan sokong apa jua tindakan yang menghina kita.
“Kita kena buat ia dengan bersungguh-sungguh sebab dia pun bersungguh-sungguh bahan promos kena dapat kelulusan UEC. Perkara ini membuka mata dalam memberi kekuatan kepada kita,” katanya.
Isu pengiktirafan UEC sebelum ini terus menjadi perdebatan pelbagai pihak, melibatkan NGO, aktivis serta pertubuhan pengguna yang masing-masing menyuarakan pandangan berbeza berhubung implikasinya terhadap dasar pendidikan negara.
Terdahulu, calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Katanya, bagi calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.




