
SARATOK – Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah menerusi Op Tapis Khas yang dijalankan di sekitar kawasan Saratok dan Kabong pada Isnin.
Ketua Polis Daerah, Mathew Manggie berkata, operasi yang bermula sekitar jam 2 petang itu dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Khas Op Tapis IPD Saratok.
Menurutnya, operasi tersebut dijalankan hasil maklumat awam berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota diketuai Inspektor Henry dan Sub Inspektor Engelbert telah menjalankan pemeriksaan terhadap dua lelaki tempatan yang disyaki penagih dadah.
“Kedua-dua suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saratok bagi menjalani ujian saringan air kencing,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, suspek pertama merupakan lelaki berusia 21 tahun dari Niah, manakala suspek kedua berusia 26 tahun berasal dari Kabong.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.







