Simpanan persaraan lebih terjamin dengan i-Legasi, i-Emas

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan i-Legasi dan i-Emas bagi memperkukuh jaminan kewangan serta memastikan kelangsungan simpanan persaraan ahli dalam jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, perancangan persaraan kini perlu melangkaui aspek pengumpulan simpanan semata-mata dengan memberi penekanan terhadap kecukupan dan kemampanan kewangan selepas bersara.

“Kami terus memperluas sokongan kepada ahli bukan sahaja untuk menyimpan, tetapi juga untuk membuat keputusan lebih baik bagi memastikan simpanan mereka berkekalan sepanjang hayat serta meninggalkan legasi buat insan tersayang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemudahan i-Legasi membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan KWSP kepada akaun KWSP milik ahli keluarga terdekat selepas mencapai umur pengeluaran penuh.

Katanya, pemindahan itu boleh dilakukan kepada pasangan dan anak-anak yang belum mencapai umur persaraan minimum kebangsaan 60 tahun serta berstatus warganegara Malaysia atau penduduk tetap.

Menurut KWSP, jumlah pemindahan tertakluk kepada lebihan simpanan selepas mengambil kira tahap Simpanan Mencukupi di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA).

Berdasarkan tahap semasa RIA, Simpanan Asas ditetapkan sebanyak RM390,000, Simpanan Mencukupi RM650,000 dan Simpanan Dipertingkatkan RM1.3 juta.

Bagi ahli berumur 55 tahun ke atas, pemindahan boleh dibuat melalui Akaun 55, manakala bagi ahli berumur 60 tahun ke atas, pemindahan dilakukan menerusi Akaun Emas.

Dalam perkembangan sama, kaedah bayaran bulanan melalui Pengeluaran Umur 55/60 Tahun sedia ada dijenamakan semula sebagai i-Emas bagi menggalakkan pengurusan simpanan persaraan secara lebih mampan.

Melalui i-Emas, ahli boleh memilih kaedah bayaran bulanan automatik berbanding membuat pengeluaran penuh selepas mencapai usia 55 atau 60 tahun, sekali gus membolehkan baki simpanan terus menerima dividen tahunan.

“Lebih 21,000 ahli telah memilih pengeluaran bulanan apabila mencapai usia 55/60 tahun, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap keperluan pendapatan bulanan yang berstruktur selepas persaraan.

“(Kemudahan) i-Emas menyediakan fleksibiliti untuk mengurus keperluan harian di samping melindungi ahli daripada risiko kewangan seperti penipuan dan pengurangan simpanan secara mendadak, serta memastikan aliran pendapatan yang stabil sepanjang tempoh persaraan,” kata Ahmad Zulqarnain.

Pada masa sama, KWSP turut memperkenalkan Kalkulator Matlamat Persaraan menerusi aplikasi KWSP i-Akaun bagi membantu ahli merancang persaraan secara lebih berkesan.

Menurut KWSP, alat digital itu membolehkan ahli menganggarkan keperluan simpanan masa depan berdasarkan jangkaan gaya hidup dan unjuran perbelanjaan, selain membantu mengenal pasti jurang simpanan serta tahap persediaan kewangan bagi menghadapi persaraan.

Related Posts

Baja Padi 3 tiba ke pesawah Kedah dalam tempoh kurang 10 hari

ALOR SETAR – Bekalan Baja Padi 3 dilaporkan telah tiba di kawasan pesawah padi Kedah hari ini, kurang daripada 10 hari selepas isu bekalan tersebut mendapat perhatian kerajaan. Menurut kenyataan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Mahu mandat baharu? Bersihkan dahulu persoalan lama – Mahfuz

UMNO perlu berani membersihkan namanya daripada sebarang persoalan yang timbul susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji sekiranya benar-benar mahu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat pada Pilihan Raya…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Legasi kafe Secangkir labuh tirai petang tadi

Legasi kafe Secangkir labuh tirai petang tadi

Baja Padi 3 tiba ke pesawah Kedah dalam tempoh kurang 10 hari

Baja Padi 3 tiba ke pesawah Kedah dalam tempoh kurang 10 hari

Mahu mandat baharu? Bersihkan dahulu persoalan lama – Mahfuz

Mahu mandat baharu? Bersihkan dahulu persoalan lama – Mahfuz

Lelaki tempatan ditahan positif dua jenis dadah

Lelaki tempatan ditahan positif dua jenis dadah

JPN Sarawak arah penutupan 647 sekolah akibat bacaan jerebu kritikal

JPN Sarawak arah penutupan 647 sekolah akibat bacaan jerebu kritikal

Siasatan terperinci wajar dilaksana susulan isu kenaikan bil elektrik secara mendadak

Siasatan terperinci wajar dilaksana susulan isu kenaikan bil elektrik secara mendadak