
KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengumumkan pelan kesinambungan bekalan minyak negara pada pertengahan bulan ini susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelan berkenaan akan diperincikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan bekalan minyak domestik kekal stabil untuk menyokong kelangsungan ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini sudah memberi jaminan bahawa bekalan semasa mampu bertahan sehingga Jun, manakala Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kini berada pada peringkat akhir memuktamadkan beberapa sumber bekalan baharu.
“Perdana Menteri sebelum ini telah menyatakan bahawa beberapa sumber baharu sedang dimuktamadkan dan beliau dijangka mengemukakan jadual seterusnya berkaitan bekalan minyak negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel forum “Energy Crisis 2026: Are We Ready to Rethink Refuel?” sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Universiti Malaya (UMES), di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, simpanan minyak negara ketika ini masih berada pada tahap operasi dan Malaysia masih mampu berdepan sebarang gangguan bekalan menerusi langkah intervensi serta pengurusan yang dilaksanakan kerajaan.
Menurutnya, kerajaan turut melihat kerjasama serantau sebagai langkah penting bagi memperkukuh ketahanan bekalan tenaga negara.
“Di peringkat ASEAN saya difahamkan ada perbincangan dalam konteks hala tuju untuk simpanan di peringkat serantau tetapi sudah pasti dari segi kerangka, mekanisme dan sebagainya itu kita perlu perincian yang lanjut kerana ia membabitkan soal diplomasi dan hubungan antara negara-negara anggota,” katanya.
Mengulas pelaksanaan biodiesel B15, beliau berkata kerajaan optimis penggunaan campuran biodiesel itu dapat dimulakan pada 1 Jun ini bagi membantu memanjangkan jangka hayat bekalan diesel negara.
Katanya, pelaksanaan itu membabitkan keseluruhan rantaian bekalan biodiesel termasuk pengedaran ke stesen minyak dan setakat ini mendapat komitmen baik daripada kementerian serta agensi berkaitan.






