TEBRAU – Kerajaan Negeri Johor digesa supaya segera menilai semula mekanisme agihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 susulan dakwaan proses tuntutan yang menyukarkan penerima khususnya golongan warga emas.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kaedah agihan bantuan perlu dipermudahkan dengan mengutamakan pindahan terus ke akaun bank penerima selain menggunakan saluran rasmi kerajaan bagi penyampaian maklumat.
Menurut beliau, pelaksanaan bantuan sekali bayar kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas seharusnya bebas daripada unsur politik dan kembali kepada matlamat asal iaitu membantu rakyat yang benar-benar memerlukan.
“Rakyat bukan sahaja memerlukan bantuan, tetapi memastikan bantuan itu benar-benar sampai kepada mereka.
“Pusat Khidmat Parlimen Tebrau sejak kebelakangan ini menerima banyak maklum balas daripada golongan warga emas berhubung kesukaran dan ketidakselesaan dalam proses tuntutan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Naib Pengerusi PKR Johor itu turut mempersoalkan penggunaan nombor telefon peribadi bagi memaklumkan penerima bantuan, berbanding talian rasmi kerajaan negeri.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga emas memandangkan kes penipuan atau scam semakin berleluasa ketika ini.
“Ramai warga emas menganggap panggilan tersebut sebagai scam dan tidak berani menjawab panggilan, sekali gus menyebabkan mereka terlepas tempoh tuntutan dan gagal menerima bantuan yang sepatutnya,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri agar memperkemaskan sistem penyampaian bantuan supaya lebih telus, mesra rakyat dan tidak membebankan golongan sasaran, terutama warga emas yang memerlukan bantuan segera dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.




