Naratif ketakutan kaum dilihat strategi retorik politik Tun M – Penganalisis

PERSEPSI yang dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkaitan isu dominasi kaum boleh ditafsir sebagai cubaan menghidupkan semula politik berasaskan ketakutan identiti, khususnya dalam suasana persaingan politik semasa.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Awang Azman Awang Pawi berkata, naratif ancaman terhadap kedudukan sesuatu kaum bukan perkara baharu dalam politik negara kerana ia sering digunakan sebagai sentimen sokongan politik.

Beliau berkata, isu identiti kaum, kedudukan orang Melayu, agama Islam dan hak-hak termaktub dalam Perlembagaan mempunyai pengaruh emosi yang kuat dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Dalam konteks politik Malaysia, naratif ketakutan kaum bukanlah sesuatu yang baharu ia telah lama menjadi instrumen mobilisasi politik kerana isu identiti, kedudukan Melayu, agama Islam dan hak-hak perlembagaan mempunyai resonans emosi yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Namun, dalam landskap politik semasa, pengundi Melayu terutamanya generasi muda dan kelas menengah semakin lebih terdedah kepada maklumat pelbagai sumber dan cenderung menilai isu berdasarkan realiti ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kestabilan politik,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Sabtu.

Pada Khamis, Dr Mahathir mengakui usaha untuk menyatukan orang Melayu yang digerakkan beliau sejak lebih dua tahun lalu tidak mencapai hasil seperti diharapkan.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, pelbagai pendekatan telah diusahakan bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan orang Melayu, namun usaha berkenaan masih belum berjaya direalisasikan.

Awang Azman berkata, sekiranya sesuatu kenyataan cuba membina persepsi ancaman kaum secara berlebihan tanpa disokong fakta kukuh, ia berkemungkinan dilihat sebagai strategi retorik politik defensif dan bukannya gambaran sebenar keadaan negara.

Mengulas dakwaan negara sedang dimonopoli oleh kaum tertentu, beliau berkata, perkara itu perlu dinilai secara objektif berdasarkan struktur kuasa sebenar dan bukannya persepsi politik semata-mata.

Katanya, secara institusi, kepimpinan tertinggi negara masih berada dalam kerangka majoriti Melayu, termasuk jawatan perdana menteri, institusi raja-raja Melayu, perkhidmatan awam, agensi keselamatan serta institusi agama.

“Daripada sudut ini, sukar untuk menyokong dakwaan bahawa telah berlaku ‘pengambilalihan struktural’ oleh kaum lain.

“Apa yang mungkin berlaku ialah perubahan dalam pola perkongsian kuasa politik dalam sistem demokrasi pelbagai kaum, di mana penyertaan pelbagai komuniti dalam kerajaan perpaduan ditafsir oleh sesetengah pihak sebagai kehilangan dominasi mutlak, sedangkan hakikatnya ia adalah manifestasi realiti politik koalisi dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu tidak seharusnya ditafsir sebagai kehilangan dominasi mutlak sesuatu kaum, sebaliknya mencerminkan realiti politik koalisi dalam masyarakat majmuk.

“Perlu dibezakan antara perkongsian kuasa demokratik dengan monopoli kuasa.

“Menggambarkan penyertaan kaum lain dalam pentadbiran sebagai ancaman boleh mewujudkan persepsi yang tidak seimbang dan menjejaskan usaha pembinaan negara bangsa,” katanya.

Jelasnya, cabaran utama negara ketika ini bukan soal monopoli kaum tertentu, sebaliknya bagaimana memastikan tadbir urus yang kompeten dan stabil demi kepentingan seluruh rakyat.

Related Posts

Selangor-Bersatu masih runding kerjasama, muktamad sebelum belanjawan negeri

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor dijangka memuktamadkan kerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor sebelum pembentangan Belanjawan Negeri pada November depan. Menteri Besar, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
‎Kerajaan teliti kesan platform e-dagang terhadap peniaga fizikal, syarikat kurier tempatan

KOTA KINABALU – Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan pengendali platform e-dagang dan peniaga tempatan bagi menangani ketidakseimbangan persaingan yang semakin memberi tekanan kepada perniagaan fizikal, khususnya akibat penjualan produk pada…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

KD Ganas, KD Serang dipindahkan ke MAWILLA 2

  • By Ezmie
  • October 8, 2026
KD Ganas, KD Serang dipindahkan ke MAWILLA 2

Semua sekolah di Negeri Sembilan ditutup mulai esok susulan jerebu

Semua sekolah di Negeri Sembilan ditutup mulai esok susulan jerebu

Fasa dua projek tebatan banjir Kampung Rampayan perlu dipercepat

  • By Ezmie
  • October 8, 2026
Fasa dua projek tebatan banjir Kampung Rampayan perlu dipercepat

Selangor-Bersatu masih runding kerjasama, muktamad sebelum belanjawan negeri

Selangor-Bersatu masih runding kerjasama, muktamad sebelum belanjawan negeri

IPU lebih 180, semua sekolah dan institusi pendidikan KPM diarahkan tutup mulai esok

IPU lebih 180, semua sekolah dan institusi pendidikan KPM diarahkan tutup mulai esok

‎Kerajaan teliti kesan platform e-dagang terhadap peniaga fizikal, syarikat kurier tempatan

  • By Ezmie
  • October 8, 2026
‎Kerajaan teliti kesan platform e-dagang terhadap peniaga fizikal, syarikat kurier tempatan