KUANTAN – Kerajaan Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah agar isu eksport pasir sungai diteliti secara menyeluruh oleh kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu bukan sahaja mampu menambah hasil negeri, malah penting bagi pengurusan sungai dan pengurangan risiko banjir.
“Kerajaan negeri akan meneliti segala perkara dibangkitkan demi memastikan hak dan kepentingan negeri Pahang terus terpelihara,” katanya, lapor Sinar Harian.
Wan Rosdy turut menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Tengku Hassanal sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-lima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang.
“Titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Tengku Hassanal menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan Pusat yang tidak meluluskan usaha negeri Pahang untuk menambah hasil negeri melalui eksport pasir sungai.





