BATU PAHAT – Seorang pemandu van warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang murid perempuan berusia 8 tahun dalam kejadian menyayat hati di hadapan sebuah sekolah di Parit Sulong, Selasa lalu.
Tertuduh, Nordin Ithnin, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu sebuah van secara melulu sehingga menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd Fareez, murid Tahun Dua yang ketika itu sedang berjalan di hadapan pagar Sekolah Kebangsaan Seri Maimon sekitar jam 12.30 tengah hari, 5 Mei lalu.
Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkannya melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Lesen memandunya turut digantung bermula dari tarikh pertuduhan dan mahkamah menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, kejadian tragis itu meruntun hati ramai apabila mangsa dilaporkan maut selepas dilanggar van yang keluar dari kawasan sekolah sebaik selesai menghantar barang. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan organ dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Lebih memilukan, ibu mangsa dikatakan tiba beberapa minit lewat untuk menjemput anaknya pulang dari sekolah sebelum dikejutkan dengan insiden berkenaan.




