Tiada proklamasi rasmi, pengisytiharan pelucutan Tuanku Muhriz dipertikai dan tidak sah

SEREMBAN – Pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan disifatkan tidak memenuhi syarat yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Pakar undang-undang, Datuk Malik Imtiaz Sarwar berkata, sebarang tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukan sahaja tertakluk kepada ambang undang-undang yang sangat tinggi, malah mesti melalui proses yang ketat, berperingkat dan tidak boleh dipintas.

Beliau menjelaskan bahawa Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan hanya Undang-Undang Negeri boleh menjalankan siasatan penuh dan lengkap sebelum sebarang keputusan boleh dibuat terhadap Yang di-Pertuan Besar, termasuk dakwaan kecacatan serius, pelanggaran perlembagaan atau tindakan yang menjejaskan martabat institusi.

“Perlembagaan Negeri Sembilan memperuntukkan perkara ini dalam Perkara X, menetapkan satu rangka kerja dengan empat ciri penting bagi mengelakkan campur tangan tidak wajar. Tanpa siasatan penuh dan lengkap seperti ditetapkan, sebarang pengisytiharan pelucutan tidak mempunyai asas perlembagaan yang sah.

“Pertama, ia menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Besar hanya boleh digantung atau dilucutkan jawatan jika baginda secara objektif didapati melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai ‘kecacatan besar dan serius’ dalam maksud peruntukan tersebut.

“Kedua, penyingkiran itu bergantung kepada Undang-Undang Negeri menjalankan siasatan penuh dan lengkap terhadap perbuatan yang dipersoalkan. Memandangkan serius perkara ini, siasatan mesti dijalankan secara formal dan sepadan dengan sifat berat tindakan menggantung atau melucutkan seorang Yang di-Pertuan Besar,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Mengulas lanjut, Malik Imtiaz berpandangan, Yang di-Pertuan Besar juga perlu diberikan hak untuk didengar, termasuk dimaklumkan mengenai dakwaan terhadapnya serta asas faktanya supaya dapat memberi penjelasan menyeluruh.

“Perkara ketiga, hanya selepas Undang-Undang Negeri secara objektif memutuskan bahawa dakwaan tersebut terbukti, barulah mereka boleh mengarahkan Yang di-Pertuan Besar sama ada menarik diri daripada menjalankan tugas untuk tempoh tertentu atau turun takhta serta melepaskan prerogatif, hak, kuasa dan keistimewaannya, kemudiannya perlu diikuti dengan satu proklamasi yang ditandatangani oleh Undang-Undang Negeri dan Menteri Besar.

“Keempat, kuasa Undang-Undang Negeri tertakluk kepada batasan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri Sembilan. Selain daripada peruntukan di bawah Perkara X, Undang juga boleh dilucutkan jawatan mengikut adat yang berkenaan, yang berada di bawah bidang kuasa Dewan Keadilan dan Undang (DKU),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, isu terbabit tidak seharusnya digunakan untuk mencetuskan skandal atau konflik selain tidak adil mengatakan bahawa proses itu bukan bersifat simbolik, sebaliknya memerlukan siasatan formal, bukti yang jelas, serta peluang sebenar kepada Yang di-Pertuan Besar bagi mengetahui dakwaan dan memberikan penjelasan.

“Signifikan, Mubarak tidak mengemukakan proklamasi yang ditandatangani oleh Undang-Undang Negeri dan Menteri Besar, selain tidak kelihatan bahawa Tuanku Muhriz telah dimaklumkan mengenai dakwaan atau diberi peluang untuk didengar.

“Ini menimbulkan persoalan serius sama ada ‘siasatan penuh dan lengkap’ seperti yang dikehendaki oleh Perkara X benar-benar telah dijalankan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Pengisytiharan itu bagaimanapun ditolak Menteri Besar yang mengesahkan bahawa Mubarak telah dilucutkan jawatan sebagai Undang dan mempersoalkan kewibawaannya,” katanya.

Tambahnya, situasi tersebut masih bergantung kepada pengesahan institusi yang sah, dengan berpendapat bahawa sebarang kekeliruan perlu diselesaikan melalui saluran rasmi bagi mengelakkan krisis persepsi terhadap institusi negeri.

“Persoalan segera ialah sama ada terdapat asas kepada dakwaan bahawa pelucutan Mubarak diputuskan dalam mesyuarat tersebut. Jika benar, maka isu itu tamat di situ, walaupun Menteri Besar telah mengesahkan pelucutan itu.

“Wujud keperluan untuk pengesahan lanjut daripada DKU mungkin dapat meredakan keadaan. Dilihat dari sudut ini, sebenarnya tidak wujud krisis perlembagaan di Negeri Sembilan,” katanya.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim mendakwa, tindakan Undang Yang Empat menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai sah.

Menganggap tindakan undang baru-baru ini sebagai sah, bekas menteri itu bagaimanapun mengesyorkan supaya pihak-pihak yang mentadbir kerajaan Negeri Sembilan kembali ke pangkal permasalahan.

Related Posts

Penduduk Sungai Apin nikmati fasiliti sukan lebih selesa

SIMUNJAN – Penduduk di sekitar kawasan Sungai Apin kini menikmati kemudahan sukan yang lebih selesa susulan siapnya projek naik taraf padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Apin yang melibatkan kos sebanyak…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anggota PDRM Sabah diseru perkukuh pengurusan kewangan, kesihatan mental

KOTA KINABALU – Seramai 500 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah diseru memperkukuh pengurusan kewangan dan kesihatan mental bagi mengelakkan implikasi serius terhadap masa depan diri dan keluarga. Ketua Jabatan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Penduduk Sungai Apin nikmati fasiliti sukan lebih selesa

Penduduk Sungai Apin nikmati fasiliti sukan lebih selesa

Anggota PDRM Sabah diseru perkukuh pengurusan kewangan, kesihatan mental

Anggota PDRM Sabah diseru perkukuh pengurusan kewangan, kesihatan mental

Penyelarasan antara agensi pastikan Pan Borneo Sabah siap ikut jadual – Hajiji

Penyelarasan antara agensi pastikan Pan Borneo Sabah siap ikut jadual – Hajiji

Kegiatan jual petrol bersubsidi kepada warga asing terbongkar

Kegiatan jual petrol bersubsidi kepada warga asing terbongkar

Semangat ABU penentu kekuatan sebenar UMNO

Semangat ABU penentu kekuatan sebenar UMNO

PM ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu

PM ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu