
KUANTAN – Penguasaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) menjadi antara faktor terpenting menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Justeru, semua ahli UMNO perlu mempelajari dan menguasai kemahiran baharu itu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan generasi muda yang lebih gemar meluangkan masa di platform media sosial.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, medan peperangan semasa berkempen sudah berubah dan tidak lagi tertumpu kepada program secara tradisional.
“Bukan bermakna kita tidak lagi perlu turun padang menyantuni rakyat… tapi perubahan dari segi pendekatan berkempen itu memerlukan kita ada kemahiran media sosial dan AI.
“Tambah pula budak-budak muda zaman ini banyak menghabiskan masa di media sosial seperti TikTok dan masih ada juga menjadikan Facebook sebagai rujukan.
“Jadi, ini semua memerlukan kita juga berubah supaya segala perancangan dapat dilakukan dengan lebih kemas,” katanya kepada The Malaysia Press.
Razak berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat UMNO Cawangan Sungai Kepong, dekat Pulau Tawar, Jerantut, hari ini.
Dia juga menjelaskan mengenai penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial mengenai kerajaan Pahang.
Katanya, perkara ini perlu dijawab oleh semua ahli UMNO menggunakan platform yang ada, sama ada menerusi media sosial atau secara bersemuka.
“Banyak kebaikan dilakukan kerajaan Pahang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Semua kebaikan dan bantuan untuk kebajikan rakyat Pahang perlu dimaklumkan secara konsisten kepada rakyat.
“Kita lihat PRU akan datang sangat kritikal… ia bukan hanya sekadar PRU untuk menentukan survival UMNO tapi menjadi medan untuk menjaga kepentingan agama dan bangsa,” jelasnya.





