KUALA LUMPUR – Seramai kira-kira 1,000 peserta menyertai perarakan sempena sambutan Hari Pekerja, di sini, hari ini.
Peserta mula berkumpul di pekarangan Masjid Negara dan berarak sambil menyanyikan lagu Hari Buruh ketika menuju ke Dataran Merdeka sekitar jam 3.40 petang.
Laungan ‘Hidup Rakyat’, ‘Bangkit Rakyat’ dan ‘Hidup Buruh’ bergema semasa himpunan sambil beberapa peserta memegang poster menyatakan slogan berkaitan himpunan tersebut.
Individu dari pelbagai latar belakang seperti orang asal, golongan mahasiswa, pekerja e-hailing, pekerja ladang, peneroka, pekerja kesihatan dan kakitangan pembersihan merupakan antara peserta himpunan.
Terdapat 63 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berganding bahu dalam menyuarakan dua tuntutan utama iaitu kerajaan perlu berperanan dalam menghentikan perang di Asia Barat selain memerangi rasuah secara holistik.
Antaranya ialah, Federasi Pemuda Kebangsaan (Federasi), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Muda, Liga Mahasiswa Malaysia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan lain-lain.
Turut kelihatan, beberapa anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga lalu lintas demi memastikan himpunan berjalan dengan aman.
Tinjauan The Malaysia Press (TMP) turut mendapati suasana himpunan dalam keadaan terkawal dan diawasi oleh anggota polis walaupun terdapat pelbagai sikap dan perbuatan provokasi cuba dilakukan peserta.
Perarakan himpunan Hari Pekerja merupakan amalan yang telah dilakukan sejak 1 Mei 1994 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei di ibu kota.
Ia telah berakar umbi di Malaysia sejak zaman pra-kemerdekaan semasa era 1940-an ketika kesatuan buruh mula ditubuhkan di mana golongan pekerja menyuarakan tuntutan dan bantahan mereka pada hari tersebut.



