
KUANTAN – Pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Jengka 24, dekat Jerantut, menganjurkan majlis bacaan Yassin dan tahlil khas untuk dua pelajar sekolah itu yang meninggal dunia akibat lemas di Sungai Pahang.
Kejadian malang itu menimpa Muhammad Amirul Ashraf Abdullah dan Muhammad Danial Haikal Shamsudin, masing-masing berusia 14 tahun, pada 3 April lalu.
Selain tahlil dan bacaan Yassin, turut diadakan penyerahan surat penghargaan kepada pihak yang membantu sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelajar terbabit.
Penyampaian surat penghargaan dilakukan Pengetua SMK FELDA Jengka 24, Mahadi Mahmood.
Antara yang menerima penghargaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung Bukit Nikmat dan Kampung Durian Hijau, selain Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud.
Turut menerima penghargaan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Jerantut, Polis Diraja Malaysia, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Operasi SAR membabitkan pelbagai agensi dan penduduk menemui mayat Muhammad Danial Haikal kira-kira dua kilometer dari lokasi dilaporkan hilang manakala mayat Muhammad Amirul Ashraf pula – tiga kilometer – dari lokasi terakhir dilihat pada hari kejadian.







