
KUCHING – Sarawak membuktikan keberkesanan pentadbirannya di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) apabila berjaya mencatatkan lonjakan pendapatan luar biasa sehingga mencecah RM14.2 bilion.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pencapaian ekonomi yang kukuh itu sekali gus menyangkal dakwaan meleset pihak lawan sebelum ini yang pernah meramalkan negeri ini akan muflis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan lama bekas Menteri Kewangan daripada DAP yang mendakwa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun di bawah pimpinan kerajaan negeri sedia ada.
“Hari ini kita buktikan Sarawak bukan sahaja tidak bankrap, malah pendapatan kita terus melonjak mencapai RM14.2 bilion. Ini adalah bukti nyata bahawa Sarawak semakin makmur hasil perjuangan konsisten GPS untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan program Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Dewan Santapan DUN Sarawak, pada Khamis.
Sementara itu, Dr Sim turut mengingatkan rakyat agar tidak melupakan kegagalan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan janji manifesto mereka ketika menerajui Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan.
Jelas beliau, janji pemberian 20 peratus royalti minyak dan pemulangan 50 peratus hasil cukai yang dilaungkan semasa kempen pilihan raya ternyata sekadar ‘cakap kosong’ yang tidak pernah ditunaikan.
Tambahnya lagi, rakyat Sarawak juga menjadi mangsa diskriminasi apabila beberapa projek infrastruktur penting seperti pembinaan jambatan dibatalkan secara drastik oleh pemimpin DAP ketika mereka berada di Putrajaya.
Menyentuh mengenai kepimpinan DAP di Sarawak, Dr Sim mendakwa wakil parti itu seolah-olah dikawal secara ‘kawalan jauh’ (remote control) oleh pemimpin pusat di Semenanjung.
Ujarnya, mereka tidak mempunyai kebebasan untuk bersuara atau membuat keputusan demi Sarawak kerana hanya mengikut telunjuk ‘tuan’ politik di Malaya yang membawa budaya politik tidak sihat ke negeri ini.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar terus bersatu padu menolak retorik politik luar, dan memberikan sokongan utuh kepada GPS bagi memastikan agenda pembangunan serta tuntutan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diteruskan dengan cemerlang.



