Kerajaan pertimbang tempatkan polis di stesen minyak sempadan – Fahmi

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti cadangan menempatkan anggota keselamatan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), di stesen minyak berhampiran sempadan negara bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan berisiko tinggi.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan makluman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai beberapa kes penahanan di stesen minyak di kawasan sempadan.

“Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pihak KPDN bahawa akibat daripada penahanan dilakukan terutama di stesen minyak di sempadan negara, maka beberapa aspek membabitkan keselamatan perlu dipertingkatkan.

“Jemaah Menteri sedang mempertimbangkan keperluan kehadiran anggota keselamatan khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan aspek keselamatan di stesen minyak di sempadan dipertingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mingguan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan bersetuju menetapkan agensi peneraju bagi tiga sektor utama dalam usaha mengekang ketirisan.

Katanya, sektor darat akan diterajui KPDN, sektor sempadan oleh PDRM, manakala sektor perairan pula oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Beliau berkata, mesyuarat itu turut bersetuju menubuhkan pasukan khas Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi Sabah, Sarawak dan Labuan untuk memperkukuh kawal selia aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal atau bunkering.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan Majlis Pengurusan Bencana Negara bagi memperkukuh penyelarasan pengurusan bencana di peringkat Persekutuan dan negeri.
Beliau berkata, majlis berkenaan akan dianggotai semua Menteri Besar, Ketua Menteri serta Premier Sarawak sebagai ahli tetap.

“Jemaah Menteri pada hari ini meneliti dan memutuskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara. Majlis ini akan merangkumi sebagai ahli tetap semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier Negeri Sarawak.

“(Mesyuarat majlis ini) akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang diadakan secara berkala,” katanya.


Fahmi berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan berperanan sebagai sekretariat kepada Majlis Pengurusan Bencana Negara.


Sementara itu, beliau berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung lanjutan Tahun Melawat Malaysia 2026 sehingga akhir tahun 2027.


Menurutnya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing turut memaklumkan keperluan menilai semula keadaan sektor penerbangan dan hospitaliti bagi memastikan industri berkenaan tidak terjejas teruk akibat krisis tenaga global serta konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.


“Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing juga memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa terdapat keperluan untuk meneliti sektor sama ada penerbangan mahupun hospitaliti.


“Ia untuk memastikan mereka tidak terkesan terlalu berat akibat daripada krisis tenaga global dan juga konflik di Asia Barat,” katanya.

Related Posts

Malaysia terus jadi negara Islam contoh

BUKIT MERTAJAM – Malaysia terus diiktiraf pada peringkat antarabangsa sebagai antara negara Islam contoh dalam pengurusan hal ehwal Islam hasil kejayaan pelbagai institusi dan dasar yang dibangunkan secara tersusun, kata…

Lebih lanjut

teruskan membaca
‘Dengan izin Allah, akhirnya dapat jumpa Anwar’, mak cik Anipah menangis impian tercapai

BATU PAHAT – Impian yang disimpan sejak 1998 untuk bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menjadi kenyataan buat seorang warga emas yang mengakui mengalirkan air mata sebaik sahaja bersua bersama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Projek pembinaan dewan di Pusa dihentikan susulan penemuan gas misteri

Projek pembinaan dewan di Pusa dihentikan susulan penemuan gas misteri

Sindiket sarang burung walit RM81.8 juta tumpas di Sarawak

Sindiket sarang burung walit RM81.8 juta tumpas di Sarawak

Polis Johor siap siaga pastikan kelancaran pengundian awal PRN Johor, esok

  • By Aden
  • July 6, 2026
Polis Johor siap siaga pastikan kelancaran pengundian awal PRN Johor, esok

Norway hantar Brazil balik hasil 2 gol Haaland

Norway hantar Brazil balik hasil 2 gol Haaland

Demi undi Melayu, Onn Hafiz sanggup tunggang naratif tidak mahu duduk semeja dengan DAP

Demi undi Melayu, Onn Hafiz sanggup tunggang naratif tidak mahu duduk semeja dengan DAP

Anak perantau Johor diseru balik mengundi – PMX

Anak perantau Johor diseru balik mengundi – PMX