PENGANJURAN sesuatu himpunan perlu didasari kefahaman yang jelas dalam kalangan masyarakat mengenai isu yang diperjuangkan bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan benar-benar difahami.
Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, kebanyakan rakyat sebenarnya memahami konteks isu semasa yang berlaku pada peringkat global, namun mereka lazimnya tidak terlalu lantang menyuarakan pandangan di ruang awam.
“Secara umumnya rakyat faham apa yang sedang berlaku dalam konteks global, tetapi yang faham ini biasanya diam, mereka tidak bising-bising.
“Berbeza dengan kelompok pembenci, walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi mereka bising dan lantang.
“Mereka menunggang isu ini sebaiknya untuk meningkatkan sentimen kebencian dan penolakan terhadap kerajaan,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penganjuran beberapa siri himpunan pada hujung minggu lalu seperti Himpunan Bantah Harga Minyak di hadapan Sogo, Kuala Lumpur dan Himpunan Rakyat Bebas Bersuara di hadapan bangunan Kementerian Komunikasi, Putrajaya.
Mohd Yusri menambah, keadaan itu dapat dilihat apabila figura atau kumpulan yang sama, sering muncul dalam beberapa siri protes yang dianjurkan.
Menurut beliau, perkara itu menunjukkan himpunan berkenaan banyak digerakkan oleh kelompok tertentu yang aktif membangkitkan sentimen terhadap kerajaan.
Jelasnya, dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan, namun ia perlu dilakukan secara bertanggungjawab serta disertai kefahaman jelas mengenai isu yang diperjuangkan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, berpendapat bahawa usaha untuk menghalang tindakan individu sebegini biasanya tidak berkesan.
“Kalau kita minta mereka berhenti, mereka tetap akan buat. Biar mereka buat sahaja. Orang seperti ini memang suka publisiti murahan, mahu menonjolkan diri dan menunggang apa sahaja isu, sama ada kerajaan melakukan perkara yang baik atau sebaliknya,” katanya.
Beliau menegaskan, di peringkat Kerajaan Perpaduan, tumpuan utama tetap kepada soal kebajikan, kehidupan, dan kesejahteraan rakyat.
“Biar mereka terus melakukan apa yang mereka mahu, kerana fokus kami tetap menjaga kepentingan rakyat,” tambahnya.




