
TUARAN – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengumumkan tawaran Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sektor Filem dan Industri Muzik sebanyak RM17.5 juta kepada penggiat industri kreatif negara.
Jelas beliau, dana sebanyak RM11 juta khusus untuk sektor filem yang dikelolakan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) manakala dana kandungan kreatif industri muzik pula berjumlah RM6.5 juta.
“Jadi harapan saya dan juga pihak kementerian dengan dana secara jumlah keseluruhan RM17.5 juta ini akan dapat membantu para penggiat industri filem dan muzik menghasilkan kandungan yang kita harapkan.
“Kandungan yang dapat menceritakan, mengisahkan dan menunjukkan sama ada budaya, cerita-cerita dan juga kemajmukan dan juga sedikit sebanyak sejarah tentang Malaysia.
“Seterusnya untuk ditayangkan, disaksikan dan ditonton bukan hanya oleh rakyat Malaysia tapi kita harap juga masyarakat antarabangsa. Inilah harapan kita,” katanya.
Tambah Fahmi memandangkan Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Asean 2025, ini merupakan peluang untuk para penggiat industri memperagakan dan menonjolkan lebih banyak kandungan kreatif termasuk dari Sabah dan Sarawak, bukan hanya untuk pengunjung tapi juga di rantau Asia Tenggara itu sendiri.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media sempena Sesi Sembang Santai bersama Penggiat Industri Kreatif Negeri Sabah dan Sarawak di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Sabah di sini pada Sabtu.
Kira-kira lebih 200 penggiat industri dari Sabah dan Sarawak yanh hadir dalam sembang santai itu untuk memberi pandangan maklum balas mengenai isu, cabaran dan harapan bagi membantu industri filem serta muzik di Sabah dan Sarawak untuk berkembang dengan lebih besar.
Bermula 16 September ini, para penggiat industri boleh melayari permohonan DKK Sektor Filem yang dibuka secara dalam talian melalui pautan https://sppik.finas.my/
Manakala permohonan DKK Industri Muzik adalah melalui laman sesawang www.mycreative.com.my/grants kepada penggiat industri kreatif yang berkelayakan pula dibuka pada 26 Julai hingga 30 September nanti.
Sebagai rekod, empat kategori DKK Sektor Filem melalui Finas yang ditawarkan termasuklah Dana Pembangunan Skrip, Dana First Time Amateur Film Maker, Dana Co-Pro Filem Cereka dan Dokumentari serta Dana Dokumentari.
Manakala sebanyak empat kategori DKK Industri Muzik melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCV) melibatkan Dana Muzik Malayseana (Dana Cipta Karya), Dana Irama Perpaduan (Dana Cipta Karya), Dana Gig MADANI (Dana Persembahan Muzik) dan Dana Kandungan Aneka Muzik Interaktif (KAMI).
Sementara itu, dua lagi kategori DKK Industri Muzik iaitu Dana Permata Muzik Negara dan Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa dibuka sepanjang 2024 kepada penggiat industri yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.








