MELAKA – Kerajaan memberi jaminan harga barangan makanan tidak akan dinaikkan selagi bekalan makanan dalam negara, termasuk import, masih mencukupi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan bekalan makanan negara ketika ini berada pada tahap stabil dan tidak menunjukkan sebarang gangguan.
Menurut beliau, kestabilan harga ketika ini bergantung kepada jumlah stok makanan yang masih berada dalam simpanan negara. Keadaan itu bagaimanapun boleh berubah sekiranya bekalan sedia ada habis dan perlu digantikan dengan stok baharu yang mungkin diperoleh pada harga berbeza.
“Saya kata, kesannya itu bergantung kepada keadaan, saya tidak jamin untuk tempoh yang lama.
“Apabila stok dalam simpanan kita habis dan kita terpaksa menggunakan stok baharu dengan harga baharu, maka mungkin akan berlaku perubahan harga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Sentuhan Agro MADANI di Dewan Dato’ Demang Hussin, Bukit Katil, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli.
Mohamad berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa bagi memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi serta bersedia mengambil langkah sewajarnya sekiranya berlaku perubahan keadaan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh memanggil kami pada bila-bila masa untuk berbincang dan mengeluarkan arahan-arahan muktahir sekiranya perlu.
“Agensi berkaitan termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan terus menyalurkan maklumat kepada petani berhubung sebarang perubahan dasar atau situasi semasa.
“LPP dan agensi lain akan memberi maklumat terus kepada petani jika ada sebarang perubahan yang akan berlaku,” katanya.

