
SARATOK – Tiga buah sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka mencatatkan pencapaian membanggakan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh pelajar, guru serta warga sekolah atas kejayaan yang diraih.
Menurut beliau, SMK Agama Saratok mencatatkan keputusan memberangsangkan apabila seorang pelajar memperoleh 10A, seorang 9A, seorang 8A, dua pelajar mendapat 7A, dua pelajar 6A dan empat pelajar memperoleh 5A.
Selain itu, sekolah tersebut turut mencatatkan kelulusan 100 peratus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.77.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen tinggi pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik pelajar terus diperkasakan,” katanya.
Dalam pada itu, SMK BM Saratok turut mencatatkan prestasi cemerlang dengan dua pelajar memperoleh keputusan kesemua A, diikuti empat pelajar mendapat 8A, lapan pelajar 7A, empat pelajar 6A dan 14 pelajar memperoleh 5A.
Sementara itu, SMK Kalaka Roban juga tidak ketinggalan apabila seorang pelajar berjaya meraih keputusan cemerlang 11A, manakala enam pelajar memperoleh 5A.
Mengulas lanjut, Mohamad Duri berkata kejayaan tersebut adalah hasil usaha gigih pelajar serta dedikasi para pendidik dalam memastikan kecemerlangan pendidikan di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan.
Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada pelajar yang tidak mencapai keputusan diharapkan agar tidak berputus asa, sebaliknya terus berusaha demi masa depan yang lebih cerah.
“Kerajaan Negeri Sarawak kini menyediakan pelbagai kemudahan termasuk peluang melanjutkan pengajian secara percuma di institusi pengajian tinggi di negeri ini serta bantuan kewangan di universiti awam seluruh negara,” jelasnya.
Tambah beliau, para pelajar diseru untuk merebut peluang yang disediakan dan terus berusaha mencapai kecemerlangan demi masa depan diri, keluarga, negeri Sarawak dan negara Malaysia.




