
LIMBANG — Hasrat menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang maju dan makmur sukar direalisasikan sekiranya rakyat gagal mengekalkan perpaduan serta keharmonian, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah.
Menurut beliau, semangat bersatu padu perlu dipupuk secara berterusan tanpa mengira latar belakang agama, kaum atau fahaman politik kerana perpaduan merupakan asas kepada kestabilan dan pembangunan negeri.
“Tema Sarawak Maju Makmur tidak akan dapat dicapai sekiranya kita tidak bersatu padu dalam apa jua keadaan. Perpaduan inilah yang menjadi kekuatan utama masyarakat di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat serta Penyerahan Geran Outright kepada 92 gereja di kawasan Parlimen Limbang pada Sabtu.
Hasbi menegaskan peranan pemimpin amat penting dalam memelihara keharmonian masyarakat, bermula daripada pemimpin tertinggi negara hingga ke peringkat akar umbi, termasuk pemimpin agama.
“Pemimpin agama khususnya perlu memainkan peranan besar dalam mendidik umat agar terus hidup dalam suasana saling menghormati dan memahami antara satu sama lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya agama tidak disalahgunakan sebagai alat untuk menyemai kebencian atau perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Jangan gunakan agama untuk menyuntik perpecahan dan menimbulkan rasa benci terhadap agama lain kerana perkara ini boleh menjadi titik permulaan kepada perpecahan masyarakat,” tegasnya.
Menurut Hasbi, semua agama yang diamalkan di Sarawak, khususnya di Limbang, mengajar nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, kasih sayang dan toleransi.
“Saya percaya setiap agama mendidik penganutnya supaya hidup saling menghormati, sama ada sesama penganut agama yang sama atau penganut agama lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemimpin agama supaya tidak mudah dipengaruhi atau diperalatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tersembunyi.
“Jangan biarkan pemimpin agama digunakan oleh individu tertentu yang hanya mementingkan kepentingan peribadi sehingga sanggup melaga-lagakan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, terdapat segelintir pihak yang sengaja mahu melihat masyarakat berpecah belah demi meraih keuntungan peribadi, sekali gus merosakkan keharmonian yang telah lama dibina.
Selain menekankan soal perpaduan, Hasbi turut menyentuh kepentingan kemajuan rohani dalam kalangan masyarakat yang perlu bergerak seiring dengan pembangunan fizikal dan material.
“Kemajuan hakiki tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal atau kekayaan material, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan kemajuan rohani,” katanya.
Menurut beliau, keseimbangan antara pembangunan fizikal, pendidikan, kehidupan bermasyarakat dan nilai rohani mampu mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni serta sejahtera.
“Jika kemajuan itu datang secara seimbang dari segi fizikal, pendidikan dan kehidupan bermasyarakat, saya percaya ia akan membawa kebahagiaan yang lebih menyeluruh kepada rakyat,” ujarnya.
Menyentuh program berkenaan, Hasbi memaklumkan sebanyak 92 buah gereja di sekitar Parlimen Limbang menerima geran outright berjumlah RM3,000 bagi setiap gereja.
Katanya, pemberian geran tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam membantu institusi keagamaan melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Saya berharap geran ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menganjurkan program yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penganut gereja, malah kepada masyarakat sekeliling,” katanya.
Beliau turut menyifatkan program seumpama itu sebagai platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memperkukuhkan semangat perpaduan di peringkat akar umbi.
“Program Pemimpin Bersama Rakyat membolehkan kita mendengar secara langsung suara rakyat dan memahami keperluan mereka agar pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Hasbi menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha memperkukuhkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di Parlimen Limbang khususnya, serta Sarawak amnya.




