JOHOR BAHRU – Golongan pelajar yang tidak menitikberatkan keperluan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini dilihat membimbangkan apabila seramai 900 pelajar gagal menduduki peperiksaan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, jumlah itu direkodkan selepas tarikh menduduki SPM berakhir minggu lalu.
Aznan berkata, kegagalan pelajar mengambil peperiksaan berkenaan ekoran beranggapan kelayakan SPM tidak penting dan masih boleh mendapat pekerjaan di Singapura dengan tawaran gaji lumayan.
“Kerajaan Negeri beranggapan situasi ini membimbangkan dan masalah keciciran dalam pelajaran akan terus berlarutan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memastikan anak mereka menamatkan persekolahan dengan menduduki SPM.
“Dianggarkan 900 pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM tahun ini, walaupun jumlah itu menurun berbanding tahun lalu, namun ia masih membimbangkan.
“Cuma cabaran kita ini, Singapura tidak memerlukan kelayakan SPM untuk ambil pelajar-pelajar kita bekerja, justeru, pihak sekolah perlu sentiasa mengadakan sesi libat urus kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar supaya mereka diberi penekanan bahawa SPM itu penting yang menjadi penentu masa depan mereka,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, di sini, semalam.
Bulan lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, sekitar 10,000 pelajar tidak hadir untuk peperiksaan SPM.




