
TENOM – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap kembali menjadi aksi tumpuan apabila lapan calon sah masuk gelanggang yang bakal menghidupkan semula medan perebutan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Datuk Jamawi Jaafar yang merupakan bekas ADUN Kemabong mencuba merebut semula pengaruh di Melalap apabila Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi mandat untuk beliau menjadi calon.
Terkini, beliau kembali mewakili PKR di bawah payung PH, langkah Jamawi dilihat sebagai usaha memulihkan dan memperkukuhkan pengaruh politiknya di Melalap.
Sementara itu, Melalap turut menyaksikan elemen politik warisan dinasti apabila Priscella Peter, anak kepada bekas ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony, turun sebagai calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Kemunculan Priscella mencetuskan perbualan kerana bapanya sebelum ini menguasai Melalap dengan majoriti besar, namun penamatan pengaruh politik keluarga itu kini diuji oleh pengundi yang semakin kritikal dan tidak lagi mudah terikat dengan sentimen nama.
Dalam pada itu, saingan kali ini membabitkan lapan penjuru iaitu Datuk Jamawi Jaafar, PKR (PH); Kevin Chong, Parti Impian Sabah (PIS); Alviana Linus, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Cheld Bryend Lind, Parti Warisan Sabah (Warisan); Priscella Peter, (KDM); Junik Bajit, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO); Gebriel George Tulas (Bebas-Kuda) dan Fatimah Ibrahim (Bebas-Kunci).
Dengan komposisi pengundi muda mencecah hampir 50 peratus, calon yang gagal membaca kehendak generasi baharu berdepan risiko ditolak awal-awal lagi.
Terdahulu, Warisan menguasai Melalap dengan majoriti 1,719 undi, mengalahkan Jamawi yang ketika itu bersama BN.









