
KAPIT – Seramai lapan nelayan sungai di daerah Song menerima suntikan semangat baharu apabila menerima bantuan peralatan perikanan darat menerusi Program Community@SCORE RECODA 2025.
Inisiatif anjuran Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) itu bertujuan memperkasakan sumber pendapatan komuniti pedalaman, selain meningkatkan taraf hidup mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, bantuan tersebut merangkumi keperluan operasi harian seperti perahu gentian kaca (fiber), enjin sangkut, peti sejuk beku dan pukat.
“Penyediaan kemudahan yang sesuai dengan keperluan semasa adalah langkah penting bagi memastikan komuniti nelayan pedalaman dapat meningkatkan produktiviti, sekali gus menjamin kelangsungan ekonomi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan bantuan tersebut di Terminal Penumpang Song, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Lidam menyifatkan pendekatan pembangunan melalui agensi wilayah membuktikan komitmen kerajaan Sarawak memastikan nikmat kemajuan dirasai secara seimbang di kawasan luar bandar.
Sementara itu, wakil penerima, Sauh Anggop menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan URDA atas sumbangan yang disifatkan sangat bermakna untuk memperbaiki taraf kehidupan mereka.
Turut hadir, Pegawai Daerah Song, Harry Bruce Edwin serta wakil pengurusan URDA.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







