70 peratus bekalan air Gaza terjejas

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan kira-kira 70 peratus pengeluaran air di Bandar Gaza terganggu, susulan halangan yang dikenakan Israel terhadap kerja pembaikan saluran bekalan air utama, termasuk sekatan kemasukan bahan yang diklasifikasikan sebagai barangan dwi guna.

Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, rakan-rakan agensi kemanusiaan yang terlibat dalam sektor air, sanitasi dan kebersihan memberi amaran bahawa gangguan itu berpunca daripada kesukaran membaiki saluran bekalan air Mekorot, lapor Anadolu.

“Saluran itu menyalurkan air dari Israel ke Gaza dan terletak di timur apa yang dikenali sebagai ‘Garis Kuning’, kawasan di mana pasukan Israel masih ditempatkan,” katanya pada sidang media, sambil memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).

Menurut Haq, penilaian terhadap kerosakan saluran paip berkenaan mendapati keperluan mendesak untuk menggantikan satu bahagian paip keluli yang tidak terdapat di Gaza.

Beliau turut memaklumkan Israel pada Ahad lalu menolak satu lagi permohonan rakan PBB untuk membaiki sebuah telaga yang disifatkan sebagai antara sumber air penting bagi penduduk Gaza.

“Rakan-rakan kami kini sedang meneliti sumber air alternatif dan meningkatkan penghantaran air menggunakan lori bagi memastikan akses berterusan kepada air bersih,” katanya.

Haq berkata, OCHA sekali lagi menegaskan keperluan akses yang lebih luas, termasuk terhadap barangan kritikal yang diklasifikasikan sebagai ‘dwi guna’, tanpa yang mana penambahbaikan terhadap perkhidmatan asas seperti bekalan air bersih tidak dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran mengenai peningkatan risiko kemanusiaan ketika musim sejuk berterusan di Gaza.

“Ketika Gaza masih dibelenggu musim sejuk, satu lagi kematian kanak-kanak akibat hipotermia dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian berkaitan cuaca sejuk musim ini kepada sembilan,” katanya.

Beliau menggesa penyelesaian segera termasuk membenarkan kemasukan bateri, panel solar dan sumber tenaga lain yang diperlukan bagi mewujudkan ruang pemanasan komuniti.

Menurut data tentera Israel, Israel masih menguasai zon penampan di selatan dan timur Gaza, selain kawasan luas di utara, sekali gus mengekalkan kawalan ke atas lebih separuh wilayah itu.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa, serangan Israel dilaporkan mengorbankan 483 rakyat Palestin dan mencederakan 1,287 yang lain, selain mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan makanan, bahan perlindungan serta bekalan perubatan ke Gaza.

Kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin kini hidup dalam keadaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.

Related Posts

Penggodam dari ‘China’ aktif lancar serangan siber

LONDON – Agensi keselamatan siber antarabangsa menggesa semua pihak memperkukuh pertahanan terhadap rangkaian sulit yang digunakan penggodam berkait dengan China untuk menyembunyikan aktiviti siber berniat jahat. Perkara itu didedahkan Pusat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Trump umum lanjut tempoh gencatan senjata tanpa persetujuan Iran

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau akan melanjutkan gencatan senjata dengan Iran tanpa had, beberapa jam sebelum ia dijadual tamat. Katanya, ia bagi membolehkan kedua-dua negara…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎