
SRI AMAN – Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengadakan Majlis Pelancaran Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Baharu Bahagian Sri Aman.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, yang bertempat di Dewan Dr Johnical Rayong Skrang Engkilili.
“Sebanyak 8529 KRT ditubuhkan di seluruh negara,1092 KRT secara keseluruhan di negeri Sarawak dan 7 KRT baharu yang ditubuhkan di Lubok Antu Bahagian Sri Aman seperti KRT Skim Skrang, KRT Skrang Ili, KRT Batang Ai Ili, KRT Batang Ai Tengah, KRT Marop Cina, KRT Klassen, dan KRT Undop Tengah,” jelas beliau ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran KRT Bahagian Sri Aman pada Jumaat.
Tambah beliau, sebanyak 14 KRT berjaya dijadikan KRT Progresif di negeri Sarawak dan sebanyak RM1.6 juta telah disalurkan untuk menjalankan projek ekonomi komuniti dan lain-lain.
Aaron menjelaskan pemerkasaan Rukun Tetangga yang diperkenalkan tahun lalu adalah inisiatif penting kerana projek ekonomi yang dibangunkan mampu menjana pendapatan komuniti sekali gus membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Projek ekonomi KRT Progresif melalui tiga sektor utama iaitu pertanian, produk makanan, dan perkhidmatan,” ujarnya.
Beliau menyeru agar semua Pengarah Perpaduan Negeri mengambil langkah dan tindak proaktif, berkerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengaktifkan KRT.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Nyipa; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPNIN, Zulkifli Hashim; Pengarah Perpaduan Negeri Sarawak, Diwarna Azool; Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau dan KMKK Bahagian Sri Aman.





