
MELAKA – Sebanyak 40 panel dalam kalangan pakar rujuk selain pemain industri digital serta teknologi pintar termasuk dari luar negara yang akan terlibat dalam Persidangan Antarabangsa dan Pameran Smart Melaka 2024 (SMIX2024) pada 10 dan 11 Oktober ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dalam kenyataanya menjelaskan antara negara yang terlibat adalah Singapura, Korea Selatan, Jerman, Belanda dan New Zealand.
Menurut beliau, penganjuran kali ketiga ini bertemakan Better Cities: Global Mindset With Local Adaptability itu akan memberi fokus kepada konsep persidangan dan pameran berbanding penganjuran sebelumnya.
“Kerajaan negeri telah melantik Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) sebagai agensi pelaksana dan mereka akan berkerjasama dengan Knowledge Group bagi menjayakan persidangan dua hari berkenaan.
“Lebih 200 peserta membabitkan 10 sesi forum dijangka terlibat dan tiga personaliti berprofil tinggi turut ditampilkan bagi memberi ucaptama SMIX2024,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan itu turut menjelaskan sebanyak lima topik utama diketengahkan pada persidangan edisi kali ini iaitu tadbir urus dan ekonomi pintar, infrastruktur digital pintar, mobiliti pintar, masyarakat dan kehidupan pintar dan persekitaran pintar.
Tambah Fairul Nizam, sebanyak 10 pempamer yang terdiri daripada agensi dan syarikat teknologi digital dan bandar pintar akan terlibat pada persidangan berkenaan dan program sampingan lain turut diadakan seperti pembentangan perniagaan kepada pemula dan penerangan produk.
Menurut beliau, penganjuran SMIX2024 ini penting bagi memperluas inisiatif pintar dan pemerkasaan data di bawah Smart Melaka sejajar dengan hala tuju Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035).
“Saya berharap SMIX2024 dapat memberi impak besar kepada pembangunan masyarakat pintar khususnya di Melaka selain memperkasa agenda pendigitalan serta bandar hijau di negeri ini pada masa hadapan,” katanya.