
PUTRAJAYA – Pelaksanaan program Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus mencatat kejayaan apabila jumlah jualan mencecah RM117.1 juta dalam tempoh hanya empat hari, melibatkan lebih 1.8 juta penerima di seluruh negara.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM76.8 juta pada 2 September yang membabitkan 1.1 juta penerima.
“Kadar transaksi berjaya juga melonjak kepada 99.7 peratus, berbanding 95 peratus sebelum ini,” jelas kenyataan itu.
Peningkatan prestasi ini didorong oleh usaha penambahbaikan sistem dan peluasan kapasiti pemprosesan sepanjang tiga hari pelaksanaan awal, yang sekali gus memastikan kelancaran dan kestabilan sistem pada hari keempat program.
Sejak pelancaran rasmi pada 31 Ogos lalu, lebih 4.8 juta rakyat Malaysia telah menggunakan kredit Penghargaan SARA sebanyak RM100 untuk membeli barangan keperluan asas. Jumlah keseluruhan perbelanjaan kini mencecah RM312.6 juta, mencerminkan penerimaan positif rakyat terhadap inisiatif kerajaan ini.
MOF turut memaklumkan bahawa kredit RM100 di bawah SARA masih boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025, memberi ruang yang luas kepada penerima untuk merancang pembelian mereka.
“Kredit ini boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara, termasuk pasar raya dan kedai runcit yang mengambil bahagian,” tambah MOF.
Program SARA merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, melalui pemberian bantuan berbentuk kredit yang boleh ditebus secara tanpa tunai menggunakan kad pengenalan.








