4.4 kilogram ganja dirampas, nilai melebihi RM200,000

MIRI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Stesen Miri berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah berbahaya apabila merampas ganja dan bunga ganja seberat 4,472 gram dalam satu operasi khas yang dilaksanakan pada Februari lalu.

Rampasan tersebut dilakukan oleh sepasukan pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM Miri dengan bantuan Anjing Pengesan Dadah (APD) hasil maklumat risikan daripada Zon Risikan Sarawak.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, operasi pada 16 Februari 2026 sekitar jam 1.00 petang itu melibatkan pemeriksaan ke atas tiga bungkusan kiriman di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Eastwood Industrial Park, Jalan Miri-Bypass.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua bungkusan mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dengan berat keseluruhan 3,444 gram, manakala satu lagi bungkusan mengandungi tiga paket bunga ganja seberat 1,028 gram,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM204,064, sekali gus mencerminkan keseriusan aktiviti penyeludupan dadah yang kini turut memanfaatkan perkhidmatan kurier.

Tambahnya, sindiket dipercayai cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengikrarkan barangan tersebut sebagai alat ganti kenderaan dan produk pelabelan selain menggunakan maklumat kiriman yang dipalsukan bagi mengelak dikesan.

“Kesemua bungkusan tersebut tidak dituntut oleh mana-mana individu dan telah disita di bawah Seksyen 30(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan,” jelasnya

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa ganja dan bunga ganja merupakan dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sebarang penglibatan dalam aktiviti tersebut akan dikenakan tindakan tegas.

Dalam pada itu, JKDM menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melibatkan pelbagai barangan termasuk dadah, rokok, minuman keras dan kenderaan.

“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Orang awam boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat bagi menyalurkan maklumat dengan jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Related Posts

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

KOTA KINABALU – Komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan Sabah terus mendapat penghargaan apabila pelbagai inisiatif dan projek strategik dilaksanakan bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

PENAMPANG – Jungle Food Lab terus mendapat perhatian di Kaamatan International Week 2026 apabila berjaya mengetengahkan makanan tradisional berasaskan sumber hutan Sabah ke peringkat antarabangsa. Pengerusinya, Andrew Ambrose atau Atama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Hak 40 peratus Sabah: Komitmen PMX beri keyakinan baharu kepada Sabah – Joachim

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Jungle Food Lab tarikan utama International Week 2026

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Tuntutan 40 peratus hak Sabah: Saya tidak mahu dilihat melengah-lengahkan – Anwar

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Gangguan bekalan elektrik, Loji Rawatan Air Utara ditutup sementara

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Malaysia boleh jadi Kota Baca dalam 20 tahun lagi

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar

Penjimatan kerajaan disalur semula kepada rakyat – Anwar