KOTA KINABALU – Kerajaan negeri akan meneruskan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) tahun depan dengan membina sebanyak 3,000 buah rumah di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program itu bagi membantu rakyat dalam kesusahan dan memerlukan rumah kediaman.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan, sebanyak 3,000 buah rumah seumpamanya akan dibina dengan kos sekitar RM250 juta,” katanya pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat (PMR) 2024: Sayangi Sabah di pekarangan Stadium Likas yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.
Hajiji berkata, PMR yang tercetus dari Gagasan Malaysia Madani adalah usaha kerajaan untuk memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat, meliputi beberapa inisiatif ke arah membantu mengurangkan beban hidup golongan kurang bernasib baik, termasuk program menoktahkan miskin tegar di dalam negara.
Katanya, Sabah dipilih sebagai lokasi penutup Program Madani Rakyat 2024 setelah ianya dilaksanakan secara jelajah di lima buah zon seluruh negara.
Menurut Hajiji, program mega seperti ini bukan sahaja mampu menyatukan pemimpin dengan rakyat, malah membuka ruang dan peluang untuk rakyat memahami dasar-dasar kerajaan dan segala program pembangunan, di samping memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk rakyat jelata dan golongan akar umbi.
“Semua yang terdapat di dalam program ini adalah berasaskan kepada keperluan rakyat yang meliputi pelbagai bidang dan sektor yang menjurus kepada pembangunan dan kesejahteraan.
“Program murni ini berpaksikan kepada keperluan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, selaras dengan objektifnya yang antara lain untuk menyebar luas dan
mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang disediakan untuk rakyat, serta meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan dasar-dasar pembangunan kerajaan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Hajiji turut berkata, Ekonomi Biru (Blue Economy) merupakan sumber baharu dalam pembangunan ekonomi negara sebagai tambahan kepada aktiviti ekonomi sedia ada.
Jelasnya, aktiviti menjurus kepada penerokaan khazanah laut yang sangat berpotensi untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui serta lain-lain produk yang berkaitan dengannya.
Beliau yakin Ekonomi Biru ini mampu melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri untuk beberapa dekad mendatang.
”Sub-sektor ekonomi yang bakal kita terokai secara serius ini adalah suatu pendekatan strategik yang mengutamakan penerokaan dan pemanfaatan sumber laut secara lestari,” katanya.
“Negeri Sabah kaya dengan khazanah laut yang tidak ternilai, dan potensi ini perlu diterokai dengan bijaksana agar sumber ekonomi negeri dapat terus berkembang sambil kita menjaga dan memelihara eko-sistem laut negeri ini yang kaya dengan pelbagai khazanahnya,” katanya.







